ARIFFIN Deraman mendengar penerangan Khamis Jusoh mengenai kematian kerbaunya akibat diserang penyakit hawar berdarah sambil diperhatikan Syukur. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
ARIFFIN Deraman mendengar penerangan Khamis Jusoh mengenai kematian kerbaunya akibat diserang penyakit hawar berdarah sambil diperhatikan Syukur. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri akan membantu keluarga Muhammad Syukur Khamis, 15, atau lebih dikenali sebagai 'Mowgli Malaysia' susulan 57 ternakan kerbaunya mati mengejut kerana diserang penyakit Haemorrhagic Septicaemia (HS) atau hawar berdarah sejak 9 September lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya akan mengenal pasti bantuan bersesuaian yang boleh disalurkan kepada keluarga Muhammad Syukur.

"Saya akan berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim dalam menentukan bantuan yang boleh diberikan.

"Kita ada Tabung Bencana yang boleh digunakan untuk membantu keluarga Muhammad Syukur yang menghadapi musibah itu.

"Kita difahamkan lebih 50 ternakan kerbaunya sudah mati kerana HS, dan memang layak menerima bantuan tertentu," katanya ketika melawat kandang kerbau milik keluarga Muhammad Syukur di Kampung Kubang Bujuk, di sini, hari ini.

Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat berkata, pihaknya cuba membantu sebaik mungkin bagi meringankan beban kerugian yang dialami keluarga Muhammad Syukur.

"Sebelum ini penternak ikan di Sungai Rengas yang mengalami kerugian kerana semua ternakan mati mendapat bantuan Tabung Bencana itu.

"Justeru, saya akan berbincang dengan pihak berkaitan untuk membantu keluarga Muhammad Syukur juga," katanya.

Sementara itu, Khamis Jusoh, 64, berkata dia amat mengharapkan bantuan selepas separuh ternakannya mati diserang penyakit HS terbabit.

Katanya, ini adalah kali pertama dia mengalami kerugian besar sepanjang terbabit dalam bidang penternakan itu.

"Bukan sahaja menanggung kos kematian mengejut ternakan itu, tetapi turut berhabis wang simpanan untuk menguruskan semua bangkai ternakan.

"Maklumlah semua ternakan mati perlu ditanam segera menggunakan kemudahan jengkaut yang perlu disewa, setiap hari," katanya.

Justeru, katanya, dia amat berharap menerima bantuan kewangan bagi meringankan beban ditanggungnya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan sebanyak 57 daripada 110 kerbau milik keluarga Muhammad Syukur mati mengejut kerana diserang penyakit hawar berdarah sejak 9 September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 6:41 PM