MUHAMMAD Syukur dari Kampung Banggol Katong bergotong royong bersama adik beradiknya menebang pokok sagu untuk diberikan kepada kerbau yang diternak pada musim tengkujuh. FOTO ihsan Dallah Deen
MUHAMMAD Syukur dari Kampung Banggol Katong bergotong royong bersama adik beradiknya menebang pokok sagu untuk diberikan kepada kerbau yang diternak pada musim tengkujuh. FOTO ihsan Dallah Deen
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Lazimnya padang rumput digenangi air setiap kali musim tengkujuh, sekali gus menyebabkan ternakan termasuk kerbau tidak boleh dilepaskan untuk mencari makanan sendiri.

Justeru, Muhammad Syukur Khamis, 15, atau lebih dikenali sebagai 'Mowgli Malaysia' terpaksa mencari makanan alternatif lain iaitu batang pokok sagu untuk 54 kerbau diternaknya.

Muhammad Syukur berkata, padang rumput di sekitar kandang kerbaunya ditenggelami air sedalam satu meter setiap kali hujan lebat.

"Oleh itu kerbau tidak boleh dilepaskan ke padang rumput sepanjang musim tengkujuh dan makanan sampingan untuk ternakan perlu disediakan bagi menjimatkan kos.

"Batang pokok sagu antara makanan sampingan paling baik dan digemari kerbau selain batang jagung jeruk.

"Lebih penting batang sagu itu tidak membabitkan kos tinggi, hanya RM10 sebatang dan tidak mengupah orang untuk menebangnya kerana saya bersama adik beradik lain iaitu Muhamad Alias, 30, Muhammad Azhar, 24, Nor Ain Solehah, 21 dan Nor Ain Amirah, 20, bergotong-royong menebangnya sendiri," katanya ketika ditemui di kandang kerbaunya di Kampung Kubang Bujuk, di sini, hari ini.

Menurutnya, dia memanfaatkan cuti sekolah ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan membantu bapanya, Khamis Jusoh,64, menguruskan kerbau di kandang.

Katanya, dia bersyukur apabila dua anak kerbau dilahirkan baru-baru ini menjadikan 54 ekor dimilikinya kini selepas ternakan itu diserang penyakit hawar berdarah (HS).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 5:42 PM