MUHAMAD Alias Khamis bersama adiknya, Nor Ain Amirah Khamis memberi minum kerbaunya yang sedang nazak. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
MUHAMAD Alias Khamis bersama adiknya, Nor Ain Amirah Khamis memberi minum kerbaunya yang sedang nazak. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Sembilan lagi kerbau milik keluarga Muhammad Syukur Khamis, 15, atau lebih dikenali sebagai 'Mowgli Malaysia' mati pagi ini.

Kematian kerbau itu menjadikan jumlah keseluruhan kerbau yang mati kerana dijangkiti penyakit Haemorrhagic Septicaemia (HS) atau hawar berdarah sebanyak 50 ekor sejak 9 September lalu.

Muhamad Alias Khamis, 30, berkata, kerbau yang mempunyai tanda penyakit masih ada tetapi sudah tidak banyak.

"Kerbau besar dan berusia mempunyai antibodi yang kuat berbanding kerbau bersaiz kecil menyebabkan kerbau itu mampu bertahan.

"Bagaimanapun apabila mempunyai tanda penyakit seperti hidung berair, kerbau itu pasti akan mati juga pada akhirnya.

"Setakat ini dua ekor ibu kerbau yang masih menyusu anak mati kerana penyakit itu," katanya ketika ditemui di kandang kerbau miliknya di Kampung Kubang Bujuk, Serada.

Muhamad Alias berkata, sebanyak 60 kerbau yang masih hidup merempuh pagar kandang untuk keluar awal pagi tadi.

"Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu mengarahkan supaya mengurung kerbau di dalam kandang.

"Bagaimanapun keadaan tidak terkawal apabila kumpulan kerbau itu merempuh pagar dan lolos keluar ke kawasan paya berdekatan kerana kepanasan.

"Maklumlah sebelum ini kumpulan kerbau itu sudah terbiasa dilepas bebas ke kawasan paya, berendam dan mencari makan di luar kandang," katanya.

Tambahnya, semua adik beradik seramai lapan orang berkumpul bagi membantu bapa, Khamis Jusoh, 64, menguruskan kerbau yang sakit dan mati di kandang.

"Sedih juga melihat keadaan ayah yang masih tidak berehat sejak hari pertama wabak itu menyerang kerbau.

"Oleh itu kami adik beradik berpakat bekerjasama membantu bapa sehingga wabak itu pulih," katanya.

Menurutnya, banyak kerja yang perlu dibuat di kandang kerbau sejak wabak itu menyerang termasuk menanam bangkai kerbau yang mati.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 11:03 AM