Bangunan Parlimen. FOTO Aswadi Alias
Bangunan Parlimen. FOTO Aswadi Alias
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pindaan nilai ambang hutang minimum dan hukuman lebih berat bagi pemanduan di bawah pengaruh alkohol antara perkara signifikan mendapat kelulusan Dewan Negara pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-14 yang menutup tirai petang ini.

Masing-masing diluluskan menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi (Pindaan) 2020 dan RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020.

Turut diluluskan tiga RUU berkaitan pandemik Covid-19 iaitu RUU Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020; RUU Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020.

Selain itu, tiga RUU berkaitan mahkamah iaitu Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah (Pindaan) 2020, Mahkamah Rendah (Pindaan) 2020 dan Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2020 turut diluluskan dalam persidangan yang mengambil masa selama 11 hari itu.

Dua lagi RUU yang diluluskan adalah RUU Perbekalan Tambahan (2019) 2020 dan RUU Majlis Keselamatan Negara (Pindaan) 2020 yang membolehkan Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan sesuatu kawasan sebagai kawasan keselamatan.

Persidangan kali ini turut menyaksikan kali pertama Tan Sri Dr Rais Yatim memain peranan sebagai Speaker Dewan Negara menggantikan Tan Sri S A Vigneswaran yang tamat perkhidmatan.

Bekas Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan itu dilihat cekap, tegas dengan peraturan mesyuarat, mementingkan ketepatan masa menyebabkan ramai Senator kerap ditegur apabila 'meleret-leret' semasa sesi soal jawab dan bahas.

Selain itu, Rais yang turut dikenali sebagai tokoh budaya juga sering menegur secara berkias namun kadangkala 'pedih' terhadap mana-mana ahli Dewan Negara mahupun menteri serta timbalan menteri yang menggunakan perkataan bahasa Inggeris semasa persidangan menyebabkan ramai Senator selepas itu dilihat lebih berhati-hati dalam berucap terutama semasa di bawah kendaliannya.

Mengikut takwim dalam laman rasmi Parlimen, Dewan Negara akan bersidang semula pada 14 Disember.

Sementara itu, persidangan Dewan kali ini ditutup dengan pengumuman oleh Senator Datuk Seri Abd Halim Samad yang memaklumkan hari ini merupakan hari terakhirnya bertugas sebagai Timbalan Speaker Dewan Negara.

Dalam ucapan sebelum menangguhkan persidangan Dewan Negara, Abdul Halim, 80, yang cukup dikenali dengan ketenangannya dan kepandaian berpantun ketika mengendalikan sidang, menzahirkan syukur kerana dapat berpeluang menabur bakti selama dua penggal untuk jawatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 8:24 PM