Dewan Negara lulus lima RUU.
Dewan Negara lulus lima RUU.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Dewan Negara, hari ini meluluskan lima Rang Undang-undang (RUU) termasuk Rang Undang-Undang Kewangan 2020, Rang Undang-Undang Kastam (Pindaan) 2020, dan Rang Undang-Undang Eksais (Pindaan) 2020.

Turut diluluskan, Rang Undang-Undang Zon Bebas (Pindaan) 2020 dan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) (Pindaan) 2020.

Rang Undang-Undang Kewangan 2020 dan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) (Pindaan) 2020 dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah.

Sementara Rang Undang-Undang Kastam (Pindaan) 2020, Rang Undang-Undang Eksais (Pindaan) 2020, dan Rang Undang-Undang Zon Bebas (Pindaan) 2020 dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Abd Rahim Bakri.

Mohd Sahar berkata, pembentangan Rang Undang-Undang Kewangan 2020 adalah bagi tujuan meminda Akta Cukai 1967, Akta Cukai Keuntungan Hartanah 1976, Akta Setem 1949, Akta Petroleum (Cukai Pendapatan 1967), Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990, Akta Kewangan 2012 dan Akta Kewangan 2018.

Katanya, ia juga bagi menguatkuasakan Langkah Cukai 2021 yang dibentangkan dalam Belanjawan 2021 pada 6 November lalu, di samping melaksanakan keputusan kerajaan mengenai penambaikan pentadbiran cukai yang memerlukan pindaan kepada akta berkenaan.

Sementara itu, Abd Rahim memaklumkan pindaan bagi Akta Kastam 1967 antara lain bertujuan menambah baik, menyeragam dan mengemaskini peruntukan sedia ada, dan memasukkan peruntukan baharu dalam Akta Perundangan Cukai supaya lebih telus dan efisien selari dengan perubahan semasa polisi percukaian.

Katanya, pindaan juga dilaksanakan bagi memperkasa tindakan penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk memastikan pematuhan cukai dan mengurangkan ketirisan hasil cukai.

Pindaan terhadap Akta Eksais 1976 pula adalah susulan daripada pindaan terhadap Akta Kastam 1967.

Pindaan terhadap kedua-dua rang undang-undang itu antara lain bagi mengadakan peruntukan kebolehpercayaan keterangan ejen provokasi dan kebolehterimaan sebagai keterangan dalam mahkamah.

Abd Rahim berkata, Rang Undang-undang Zon Bebas (Pindaan) 2020 pula membabitkan pindaan terhadap Akta Zon Bebas 1990.

Menurutnya, ia bagi memperuntukkan kuasa tambahan kepada pegawai kanan JKDM untuk menjalankan penguatkuasaan penyiasatan dan pemeriksaan sebagaimana kuasa polis di bawah Kanun Tatacara Jenayah.

Sementara itu, Mohd Shahar ketika membentangkan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) (Pindaan) berkata, anggaran perbelanjaan tambahan Kumpulan Wang Covid-19 yang dibentangkan adalah sebanyak RM20 bilion.

Mohd Shahar memaklumkan ia bagi membiayai Perbelanjaan Pakej Rangsangan Ekonomi Kita Prihatin dan Inisiatif Belanjawan 2021 di bawah Kumpulan Wang Covid-19.

Sidang dewan disambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2020 @ 4:48 PM