Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ketika sesi ucapan penggulungan sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. FOTO ihsan Jabatan Ketua Menteri Sabah
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ketika sesi ucapan penggulungan sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. FOTO ihsan Jabatan Ketua Menteri Sabah
Oleh Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah hari ini, meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2023) 2022 atau Belanjawan Negeri 2022 berjumlah RM5.138 bilion selepas dibahas sejak Isnin lalu.

Speaker Dun Sabah Datuk Kadzim M Yahya berkata, belanjawan itu diluluskan dengan suara majoriti ahli mesyuarat.

Dun Sabah turut meluluskan Rang Undang-undang Kumpulan Wang Amanah Kerajaan (Pindaan) 2022 dan Enakmen Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) (Pindaan) 2022.

Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Rang Undang-Undang Enakmen Kumpulan Wang Amanah Kerajaan (Pindaan) 2022 adalah bertujuan untuk menubuhkan satu Kumpulan Wang Amanah yang diberi nama Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Badan Profesional Perakaunan Negeri Sabah.

"Tujuan penubuhan Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Badan Profesional Perakaunan Negeri Sabah adalah untuk menampung pembiayaan Pendidikan Badan Profesional Perakaunan untuk Skim Perkhidmatan W yang berkelayakan.

"Bermula 1 Januari 2022, melalui Pekeliling Perkhidmatan Negeri Sabah Bil.13/2021, kerajaan negeri menghendaki Pegawai Pengurusan dan Profesional Skim Perkhidmatan W memiliki keahlian profesional kedua bagi membolehkan kenaikan pangkat ke gred WA48 dan ke atas tanpa kekosongan.

"Kehendak untuk memiliki keahlian profesional kedua adalah selaras dengan hala tuju perakaunan kerajaan negeri ke arah pelaksanaan perakaunan akruan. Di samping itu, ia akan memperkukuh dan memperkasa pegawai perkhidmatan W.

"Selaras dengan keperluan itu, kerajaan negeri akan menubuhkan Kumpulan Wang Amanah bagi membiayai Pendidikan Badan Profesional Perakaunan terbabit sebanyak RM3,775,000 (tertakluk kepada kos semasa). Ia akan dicarum ke dalam Kumpulan Wang Amanah ini bagi tempoh lima tahun iaitu sebanyak RM775,000 setiap tahun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah di sini.

Dalam pada itu, Hajiji turut berkata, penubuhan Kumpulan Wang Amanah berkenaan penting bagi membiayai akauntan yang berkelayakan untuk memiliki keahlian profesional kedua.

"Ia bukan sahaja dapat memastikan penajaan akan berjalan lancar dan berpanjangan, malah akan menyokong perkembangan kerjaya akauntan dalam memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada kerajaan negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 2:06 PM