TUNKU Ismail Sultan Ibrahim (tengah) bersama isteri, Che Puan Khaleeda Bustamam (kiri) melawat Sekolah Agama Taman Kota Masai, Pasir Gudang. FOTO Nurul Amanina Suhaini
TUNKU Ismail Sultan Ibrahim (tengah) bersama isteri, Che Puan Khaleeda Bustamam (kiri) melawat Sekolah Agama Taman Kota Masai, Pasir Gudang. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Nurul Amanina Suhaini


Pasir Gudang: Mata pelajaran Kesultanan Islam Johor yang diperkenalkan di 578 sekolah agama di negeri ini menjadi negeri perintis ke arah memupuk jati diri generasi muda, selain mengenali institusi diraja.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Tosrin Jarvanthi berkata, empat negeri lain juga dijangka menggunakan modul itu untuk dimasukkan dalam silibus pendidikan sekolah masing-masing.

"Mata pelajaran ini sudah bermula bulan ini di semua sekolah-sekolah agama kerajaan negeri Johor bagi darjah satu hingga tiga dan ada tahap-tahapnya, kita perkenalkan sehingga darjah khas," katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Keberangkatan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim ke Sekolah Agama Taman Kota Masai di sini, hari ini.

Terdahulu, Tunku Ismail bersama isteri, Che Puan Khaleeda Bustamam dan tiga anakanda berkenan melawat sekolah itu bagi meninjau proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di sekolah agama negeri.

Menurut Tosrin, generasi muda dilihat kurang memahami sejarah negeri khasnya sejarah kesultanan Johor.

"Ia turut merangkumi gambar dalam buku itu, jadi anak-anak akan mengenali sejarah Johor, bila sekolah agama dibuka, bila Sultan Johor ditabalkan dan sebagainya.

"Kementerian Pendidikan pun ada minta pada kita (kerajaan negeri) menjadikan satu contoh untuk dikembangkan ke beberapa negeri. Saya difahamkan, empat negeri berminat dengan kurikulum kesultanan Islam Johor ini," katanya.

Bagaimanapun, Tosrin enggan untuk memaklumkan negeri berkenaan kerana ia belum diputuskan pada mesyuarat akhir Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Pada perkembangan lain, Tosrin berkata, sehingga kini, pihaknya tidak menerima laporan berhubung ajaran Abdul Kahar Ahmad yang difatwakan sesat di negeri ini.

"Di Johor tiada laporan Rasul Melayu tapi saya sudah minta bahagian penguatkuasaan supaya memantau perkara ini. Tetapi setakat ini, Kita tidak menerima laporan mengenai wujudnya pengikut Rasul Melayu di Johor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 7:13 PM