Tosrin Jarvanthi
Tosrin Jarvanthi
Omar Ahmad

Johor Bahru: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sedang menunggu laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung kematian beberapa individu pengurusan sebuah masjid di Taman Impian Emas di sini, yang didakwa meninggal dunia akibat Covid-19.

Sebelum ini, tular di media sosial seorang imam, bilal dan pengerusi masjid di Taman Impian Emas meninggal dunia akibat Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi berkata, pihaknya akan memaklumkan sebarang maklumat lanjut berhubung perkara itu kepada pihak media sebaik laporan penuh itu diterima pihaknya.

"Kita sedang tunggu maklumat penuh daripada KKM dan jika dapat laporan penuh kita akan maklum.

"Sekarang ini, masjid berkenaan juga ditutup dan akan dibuka tiga hari lagi," katanya ketika ditemui selepas majlis Pembayaran Zakat dan Kurniaan Bantuan Zakat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada) Johor di sini, hari ini.

Menurut Tosrin, setakat ini tiada lagi arahan penutupan masjid atau surau di negeri itu.

"Pihak pengurusan masjid dan surau negeri tidak ada mengeluarkan apa-apa pemberitahuan rasmi mana-mana surau atau masjid ditutup," katanya.

Semalam, dilaporkan Imam Surau Al Jawhar di Taman Impian Emas disahkan oleh keluarganya meninggal dunia akibat Covid-19 pada Rabu lalu.

Muhammad Zulhilmi Jamaludin, 29, mendakwa abangnya, Muhammad Nazirul, 32, dilaporkan meninggal dunia pada 8 pagi, 28 April lalu.

Muhammad Zulhilmi turut mengesahkan dia dan bapanya, Jamaludin Arif, 60, turut positif Covid-19 dan mereka sedang dikuarantin di sebuah hospital sejak Rabu lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 6:18 PM