PELAJAR lelaki dan perempuan Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor diberikan rawatan kecemasan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang selepas mengadu mual dan muntah-muntah ketika sesi pembelajaran kira-kira 10 pagi semalam. FOTO Ihsan Pembaca

PELAJAR lelaki dan perempuan Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor diberikan rawatan kecemasan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang selepas mengadu mual dan muntah-muntah ketika sesi pembelajaran kira-kira 10 pagi semalam. FOTO Ihsan Pembaca

Adnan Ibrahim


PEJABAT Kesihatan Daerah (PKD) Kluang mengambil sampel sarapan di Sekolah Menengah Agama Kerajaan (SMAK) Johor bagi siasatan punca keracunan makanan yang dialami pelajar, pagi semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, susulan pemeriksaan yang dijalankan pihak berkuasa kesihatan itu, dewan makan di sekolah berkenaan turut diarahkan tutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dilakukan.

Katanya, berikutan penutupan sementara dewan makan itu, pihak pengurusan sekolah memutuskan semua pelajar diberikan cuti khas selama tiga hari dan ia dipersetujui oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

"Mengikut laporan kejadian yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan sekolah, seramai 140 orang pelajar yang terbabit dan bukannya 91 orang yang dilaporkan semalam.

"Semua pelajar diberikan cuti antara satu hingga tiga hari oleh pihak Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) bagi membolehkan mereka menerima rawatan atau berehat," katanya

Tosrin berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kejadian keracunan makanan yang berlaku di SMAK Johor awal pagi semalam.

Menurut Tosrin, pemberian cuti khas bermula hari ini hingga Khamis hanya membabitkan pelajar sahaja manakala kakitangan pengurusan serta guru sekolah akan bekerja seperti biasa.

"Punca sebenar pelajar mengalami keracunan makanan sedang disiasat dan PKD dan menunggu laporan penuh untuk tindakan selanjutnya.

"Pihak sekolah akan terus memantau perkara ini manakala ibu bapa pelajar sudah dimaklumkan untuk mengambil anak masing-masing bagi mendapatkan rawatan lebih baik di rumah," katanya

Berita berkaitan

SMAKJ cuti 3 hari

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 1:59 PM