TOSRIN JARVANTHI
TOSRIN JARVANTHI
Omar Ahmad


Johor Bahru: Kerajaan negeri membenarkan semua perhimpunan untuk tujuan aktiviti keagamaan di seluruh masjid dan surau negeri ini, bermula Jumaat ini (11 September).

Kebenaran ini diberi selepas enam bulan aktiviti seumpama itu ditangguhkan di Johor sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Tosrin Jarvanthi berkata, kebenaran itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Ketua Agama Islam negeri sebagaimana peruntukan Fasal 57 (A) Undang-undang Tubuh Kerajaan negeri Johor 1895 dan Seksyen Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003.

Katanya, sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), dibenarkan aktiviti seperti program membudayakan al-Quran dan as-sunnah tidak melebihi 30 minit selepas solat.

"Program bacaan surah Yasin dan tahlil dijalankan dalam tempoh selepas solat Maghrib hingga Isyak.

"Program kuliah takmir masjid dan surau iaitu kuliah Maghrib dilaksanakan selepas solat Maghrib hingga Isyak, manakala kuliah subuh, dhuha, zuhur, tazkirah Jumaat dan kuliah Isyak dalam tempoh tidak melebihi satu jam.

"Manakala bacaan surah Al-Mulk, surah al-Kahfi, kursus jenazah, haji dan umrah, pra perkahwinan, kelas tafaqquh berkitab, kelas pengajian al-Quran serta program hari kebesaran Islam seperti Maulidur Rasul dijalankan berdasarkan waktu sebenar program," katanya hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Islam Iskandar di sini.

Menurut beliau, tiada had digariskan, kapasiti individu bergantung kepada keluasan masjid dan surau serta melakukan penjarakan fizikal.

Tegas Tosrin, semua pihak yang terbabit dengan pengurusan masjid dan surau serta umat Islam di negeri ini perlu mematuhi arahan berkenaan.

"Mereka perlu mematuhi arahan dan garis panduan dikeluarkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), termasuk memakai pelitup muka, membuat pemeriksaan suhu serta merekodkan kehadiran, selain memastikan penjarakan fizikal sepanjang berada di masjid dan surau," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 5:40 PM