DATUK Abdul Ghani Salleh ketika sidang media pada pengundian awal di Ibu Pejabat Kontinjen Sabah sempena PRN Sabah 2020. FOTO Aswadi Alias
DATUK Abdul Ghani Salleh ketika sidang media pada pengundian awal di Ibu Pejabat Kontinjen Sabah sempena PRN Sabah 2020. FOTO Aswadi Alias
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kota Kinabalu: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mempunyai maklumat berkaitan pengundi yang mempunyai lebih daripada satu kewarganegaraan.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, seseorang itu bagaimanapun hilang kelayakan mengundi sekiranya didapati memiliki lebih satu kerakyatan.

Menurutnya, seseorang individu itu layak mengundi selepas SPR menyemak status kewarganegaraan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Bagi pilihan raya umum atau kecil, hanya pemilih yang berdaftar dalam daftar pemilih pilihan raya berkenaan sahaja layak untuk mengundi pada hari mengundi yang ditetapkan.

"Pengundi perlu membawa dokumen pengenalan diri seperti kad pengenalan bagi membuktikan identitinya sebelum dibenarkan mengundi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan wujudnya kumpulan yang memiliki dua kerakyatan akan masuk secara besar-besaran ke Sabah sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu ini.

Beliau berkata, kumpulan itu tinggal di negara jiran dan masuk ke Sabah untuk mengundi.

"Risikan polis mendapati kumpulan ini ada dua kerakyatan dan akan masuk ke Sabah untuk mengundi.

"Saya beri amaran jangan ada pihak yang cuba mengganggu proses demokrasi ini dan mereka akan diambil tindakan tegas dan diusir keluar dari Malaysia," katanya ketika ditemui selepas meninjau perjalanan pengundian awal di Mes Pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, semalam.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 5:09 PM