Ekhwan Haque Fazlul Haque


Penampang: Peti undi di kawasan pedalaman dan pulau sekitar Sabah sudah dihantar ke pusat pengundian menggunakan 20 helikopter, hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, helikopter sewa khas itu digunakan bagi mempercepatkan proses penghantaran peti undi sebelum dan selepas hari pengundian.

Menurutnya, SPR juga sudah merangka beberapa pilihan lain seperti menggunakan bot dan jalan darat sekiranya helikopter tidak dibenarkan terbang ekoran faktor cuaca.

"Sehingga kini proses pengagihan peti undi di 73 Dewan Undangan Negeri (Dun) berjalan lancar dan petugas SPR giat melakukan persiapan untuk hari pengundian esok.

"Setakat ini semua persiapan mengikut pelan yang dirancang dan berharap hari pengundian esok juga lancar," katanya ketika ditemui media selepas meninjau Pusat Pengumpulan Undi Dun Mayog di Pusat Kebudayaan Penampang, di sini, hari ini.

Abdul Ghani juga mengingatkan orang ramai untuk keluar mengundi esok dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Katanya, orang ramai tidak perlu khuatir untuk keluar mengundi di sebalik peningkatan kes Covid-19 di Sabah kerana persediaan rapi sudah dilakukan.

"Dakwat jari untuk digunakan juga tidak menyebabkan jangkitan kerana tangan setiap pengundi akan disanitasi sebelum masuk ke pusat pengundian," katanya.

Beliau turut memberi jaminan tidak wujud 'pengundi halimunan' dalam proses pilihan raya kerana hanya mereka yang berdaftar sebagai pengundi saja dibenarkan mengundi.

Tambahnya, SPR akan merujuk kepada daftar pemilih sebelum membenarkan seseorang pengundi itu dibenarkan masuk.

"Saya beri jaminan tidak wujudnya pengundi halimunan ini kerana SPR telus untuk memastikan proses demokrasi ini berlangsung dengan bebas dan adil," katanya.

DATUK Abdul Ghani Salleh (tengah) menyerahkan peti undi kepada petugas SPR untuk dihantar ke pusat undian pedalaman dan kepulauan dengan menaiki helikopter sewa khas di Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang. FOTO ASWADI ALIAS.
DATUK Abdul Ghani Salleh (tengah) menyerahkan peti undi kepada petugas SPR untuk dihantar ke pusat undian pedalaman dan kepulauan dengan menaiki helikopter sewa khas di Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang. FOTO ASWADI ALIAS.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 12:20 PM