Zatul Iffah Zolkiply


KERAJAAN akan mengadakan perjumpaan bersama golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender ( LGBT) dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan dalam masa terdekat bagi membincangkan isu golongan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, pihaknya menerima banyak surat untuk mengadakan pertemuan dengan pihak berkaitan.

"Pertemuan itu bagi membincangkan dan mencari titik persefahaman golongan berkenaan.

"Saya juga akan lakukan lawatan ke program yang dikolaborasi oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) dan NGO untuk sama-sama membuat dialog perbincangan dengan rakan-rakan kita yang transgender.

"Dalam pertemuan itu nanti, mungkin mereka boleh lontar dan bincangkan apa-apa isu berbangkit," kepada selepas Majlis Serahan Musaadah Covid-19 di Kampung Sena Rendang, Marang, hari ini.

ZULKIFLI (empat kanan) dan Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah (tiga  kanan) bersama penerima bantuan. FOTO Ghazali Kori
ZULKIFLI (empat kanan) dan Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah (tiga kanan) bersama penerima bantuan. FOTO Ghazali Kori

Dalam majlis itu, 200 penerima daripada golongan B40 menerima bantuan barangan keperluan berjumlah RM20,000.

Zulkifli berkata, JAWI tidak sewenang-wenangnya menggunakan kuasa bagi menangkap atau mengenakan tindakan terhadap golongan transgender seperti didakwa Suruhanjaya Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Katanya, pihaknya terbuka menyelami permasalahan golongan berkenaan namun golongan terbabit perlu mematuhi batasan dalam masyarakat, keluarga serta kejiranan bagi mewujudkan suasana harmoni dalam kehidupan majmuk.

"Apa yang saya nak tekankan di sini ialah kita bukan bersifat semua orang kita nak tangkap... itu bukan kerja kita.

"Insyaallah kita akan adakan dialog perbincangan untuk kita sama-sama duduk mencari titik persamaan dan kebenaran," katanya.

Terdahulu, ICJ mengecam kenyataan Zulkifli yang memberikan 'lesen penuh' kepada JAWI untuk mengambil tindakan terhadap transgender.

ICJ meminta menteri untuk membatalkan arahan itu dengan segera dan mengambil langkah-langkah bagi memastikan perlindungan yang sama dan tiada diskriminasi terhadap semua orang di Malaysia termasuk golongan LGBT.

ZULKIFLI ketika program Musa'adah Covid-19 di Kampung Bukit Payung. FOTO Ghazali Kori
ZULKIFLI ketika program Musa'adah Covid-19 di Kampung Bukit Payung. FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Julai 2020 @ 1:22 PM