GAMBAR ambulans KKM di Balai Polis Pandamaran yang tular dalam kalangan penduduk Klang. FOTO Ihsan pembaca
GAMBAR ambulans KKM di Balai Polis Pandamaran yang tular dalam kalangan penduduk Klang. FOTO Ihsan pembaca
Norzamira Che Noh

Klang: Gara-gara empat tahanan warga Indonesia disyaki positif Covid-19, Balai Polis Pandamaran didakwa `ancaman' kepada penduduk sekitar daerah ini.

Difahamkan empat daripada 77 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang cuba menyusup masuk ke negara ini secara haram melalui perairan Pulau Ketam diberkas pada 14 September lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, empat warga asing itu membabitkan tiga lelaki dan seorang wanita berusia 25 hingga 47 tahun.

Menurutnya, semua mereka disyaki positif menerusi saringan awal Rapid Test Covid-19.

"Semua yang ditahan ditempatkan di Balai Polis Pandamaran manakala empat yang disyaki positif dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh.

"Saya tegaskan bahawa mereka baru disyaki positif dan belum disahkan sama ada benar-benar dijangkiti Covid-19 atau sebaliknya.

"Ujian kedua Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) akan dijalankan terhadap empat PATI terbabit bagi mengesahkan sama ada positif Covid-19 atau sebaliknya," katanya bagi menjawab khabar angin tersebar mendakwa terdapat kes positif di Balai Polis Pandamaran di sini.

Menerusi mesej tular itu, penduduk dinasihatkan tidak berurusan di balai polis itu buat ketika ini.

Dalam pada itu, Shamsul Amar memaklumkan anggota yang menguruskan PATI mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, proses sanitasi lokap dan balai juga dilakukan sekurang-kurangnya dua kali sehari.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 6:43 PM