GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Ruwaida Md Zain


Klang: Pertikaian membabitkan hutang menjadi punca seorang pekerja kilang besi cedera parah ditikam dan dikelar rakannya di sebuah asrama pekerja di Persiaran Selat Selatan 1, Pandamaran, di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada penyelia asrama itu pada jam 1.25 tengah hari Khamis lalu.

"Penyelia itu mendakwa melihat seorang pekerjanya dalam keadaan terbaring berlumuran darah dengan kesan cedera di muka, leher dan belakang badan.

"Turut ditemui sebilah pisau berada tidak jauh dari mangsa lelaki berumur 37 tahun.

"Mangsa yang juga warga Myanmar kemudian segera dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dengan menaiki ambulans," katanya.

Shamsul Amar berkata, bertindak di atas maklumat, pasukannya berjaya memberkas rakan mangsa yang juga lelaki warga Myanmar yang disyaki menyerang mangsa.

"Suspek berumur 22 tahun dan tiada rekod jenayah lampau mengaku terbabit dalam kes berkenaan. Siasatan awal mendapati, suspek tidak berpuas hati berhubung hutang dilakukan mangsa.

"Kedua-dua mereka mengenali satu sama lain sejak bekerja di kilang sama. Suspek kini ditahan reman 14 hari sehingga 16 September hadapan. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 4:37 PM