Pasukan SAR mengusung mayat mangsa yang ditemui di dalam hutan berhampiran pencawang elektrik Pan Borneo di Selalang, Bau pagi tadi. FOTO MELVIN JONI
Pasukan SAR mengusung mayat mangsa yang ditemui di dalam hutan berhampiran pencawang elektrik Pan Borneo di Selalang, Bau pagi tadi. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni


Bau: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang di Selalang, di sini, Sabtu lalu ditemui mati, pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, mayat lelaki berusia 77 tahun itu ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bersama penduduk kampung, kira 10 pagi.

"Mayat warga emas itu ditemui di dalam hutan berhampiran pencawang elektrik berdekatan Lebuh Raya Pan Borneo, kira-kira 600 meter dari rumahnya di Selalang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau, Tawang Linggem berkata, mangsa dilaporkan hilang pada 9.23 pagi Sabtu lalu selepas tidak balik ke rumah sejak 9 September.

Katanya, berdasarkan laporan dibuat anak mangsa, warga emas itu dikatakan nyanyuk dan kerap keluar rumah berjalan kaki dari Selalang ke Tondong melalui laluan Lebuh Raya Pan Borneo.

"Lazimnya, warga emas itu balik ke rumah sendiri atau dihantar balik dengan bantuan orang yang mengenalinya.

"Sebaik menerima laporan kehilangan mangsa, operasi SAR dimulakan dengan bantuan polis, tentera, Angkatan Pertahanan Awam, Rela serta penduduk kampung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 5:51 PM