BUAYA berkenaan. FOTO Ihsan Pembaca
BUAYA berkenaan. FOTO Ihsan Pembaca
Khalid Latip


BUAYA yang dipercayai cuba membaham seorang lelaki Indonesia di Kampung Selalang, di Sarikei, sebelum ini, mati ditembak, semalam.

Pada kejadian 6 pagi itu, reptilia sepanjang 3.9 meter dengan berat 300 kilogram itu ditembak menggunakan senapang patah oleh pemilik kolam udang.

Penghulu Kampung Selalang, Amir Amzah, 54, berkata, pada mulanya, reptilia itu tersangkut pada mata kail berhampiran sungai di kampung berkenaan.

Menurutnya, mata kail dengan umpan ayam itu dipasang pemilik kolam udang, sejak petang kelmarin.

“Selepas menyedari jerat mengena, pemilik kolam udang itu menembak mati buaya itu semalam,” katanya.

Menurutnya, pemilik kolam itu memasang jerat selepas pekerjanya yang juga warga Indonesia sudah tiga kali nyaris dibaham buaya berkenaan.

“Kali terakhir, pekerja Indonesia itu cuba dibaham buaya itu ketika mengalihkan perahunya, Sabtu lalu,” katanya.

Beliau berkata, kehadiran buaya di kawasan itu bukan sesuatu yang baru, kerap dilihat berjemur di tebing sungai sehingga membimbangkan penduduk.

“Apabila buaya itu berjaya ditembak, ia sememangnya melegakan penduduk, namun mereka dinasihatkan untuk terus berhati-hati,” katanya.

Buaya di Sarawak boleh diburu dan dijual berikutan konflik yang tinggi antara manusia dan haiwan itu, sejak beberapa tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 4:39 PM