PRESIDEN Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau bertemu kedua ibu bapanya di Kampung Lokos, Kiulu untuk mendapatkan restu. FOTO IHSAN UPKO
PRESIDEN Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau bertemu kedua ibu bapanya di Kampung Lokos, Kiulu untuk mendapatkan restu. FOTO IHSAN UPKO
Recqueal Raimi


Tuaran: Pelan strategik pembangunan Kiulu akan dilaksanakan sekiranya parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Warisan Plus diberi mandat kembali memimpin kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, bagaimanapun ia terpulang kepada rakyat bagi memilih wakil rakyat untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu.

Katanya, pengalaman beliau memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri dan menteri penuh di Persekutuan dan kabinet negeri, dijadikan sandaran kepada rakyat untuk memilih beliau di DUN Kiulu.

"Keputusan saya bertanding adalah bagi meneruskan kesinambungan kerajaan negeri.

"Contohnya, setiap kali saya membawa cadangan ke Kabinet untuk melaksanakan Pejabat Daerah Kecil Kiulu, ia diluluskan oleh kerajaan negeri yang tinggal sekarang cuma perlu dilaksanakan sahaja," katanya sempena kempen di Dewan Serbaguna, Kampung Tombongon Kiulu di sini, semalam.

Menurutnya, jika diberi mandat oleh rakyat kajian untuk pelan strategik pembangunan Kiulu sudah dijalankan Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah dan akan menjadi garis panduan bagi membina Pejabat Daerah Kecil Kiulu.

"Namun, kedudukan saya akan datang adalah kehendak rakyat bukan lagi kehendak individu atau kepentingan saya sendiri. Kami juga daripada rakyat yang berjuang untuk rakyat. Ini adalah asas dan pertimbangan saya," katanya.

Madius berdepan saingan penyandang DUN Kiulu dari Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joniston Bangkuai serta empat calon lain mewakili Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan dua calon Bebas.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 5:49 PM