DATUK Hasni Mohammad. FOTO ihsan Pejabat Menteri Besar
DATUK Hasni Mohammad. FOTO ihsan Pejabat Menteri Besar
Mohamed Farid Noh dan Omar

Iskandar Puteri: Kerajaan Johor mengumumkan pemberian rebat antara lima hingga 15 peratus cukai tanah bermula tahun ini hingga 2022.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, bermula tahun ini sebanyak 15 peratus diskaun diberikan terhadap cukai tanah diikuti masing-masing 10 serta lima peratus pada 2021 dan 2022.

Hasni mengumumkan perkara itu dalam ucapan penggulungan Rundingan Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor 2020 pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-14, di sini, hari ini.

Beliau berkata, langkah pemberian rebat itu membuktikan Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dalam melaksanakan keputusan yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, berikutan caj cukai tanah dirasakan terlalu tinggi dalam keadaan ekonomi semasa.

"Saya sedar dan faham, pemberian rebat ini akan menjejaskan hasil kepada kerajaan negeri dalam keadaan ekonomi yang amat luar biasa ini. Seperti yang semua tahu, sumbangan hasil daripada cukai tanah menyumbang hampir 70 peratus kepada pendapatan Johor.

"Tapi saya percaya, semuanya ini adalah tindakan luar kebiasaan bagi memastikan keluhan semua pihak didengari dalam keadaan ekonomi semasa yang getir sekarang.

"Kita yakin ekonomi Johor akan pulih kembali dan diharapkan keadaan ekonomi akan lebih stabil dari sekarang pada tahun 2022 nanti," katanya.

Sebelum ini, kenaikan cukai tanah sehingga 30 peratus yang diumumkan kerajaan PH mendapat rungutan ramai berikutan ia membebankan rakyat kerana kos sara hidup semakin tinggi.

Mengulas lanjut, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Benut berkata, kerajaan Johor akan meneruskan inisiatif potongan 50 peratus cukai tanah untuk rizab Melayu kepada pemilik yang mempunyai tanah berkeluasan lebih lima hektar seperti yang diumumkan pada Mac lalu.

"Diskaun ini secara langsung dapat meringankan bebanan masyarakat luar bandar, khususnya di tanah rancangan Felda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2020 @ 2:42 PM