TERMINAL Feri Kuala Perlis lengang. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
TERMINAL Feri Kuala Perlis lengang. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Kangar: Jumlah pengunjung ke Langkawi melalui Terminal Feri Kuala Perlis menurun lebih 50 peratus susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Kota Setar bermula semalam.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures, Kapten Baharin Baharom berkata, meskipun pengunjung yang tidak boleh menaiki feri di Jeti Kuala Kedah boleh meneruskan perjalanan melalui Kuala Perlis.

Namun, jumlahnya tetap menurun dan pihaknya menjangkakan jumlah kemasukan pengunjung ke Langkawi sehingga 25 September ini merosot.

"Jumlah keseluruhan pengunjung yang memasuki Langkawi sehingga semalam hanya seramai 2,736 orang berbanding 5,700 orang pada hari kebiasaan.

"Meskipun hari ini adalah hari minggu namun sehingga tengah hari tadi, hanya 2,085 orang yang menggunakan perkhidmatan feri ke Langkawi berbanding sebelum ini mencatatkan jumlah berkali ganda," katanya ketika dihubungi.

Baharin berkata, terdapat pengunjung yang membatalkan perjalanan pada saat akhir selain ada sebahagiannya menukar tarikh perjalanan.

"Menurut rekod kami, ada pengunjung yang menunda perjalanan sehingga ke bulan Mac tahun hadapan dan berkemungkinan jumlah kemasukan pelancong ke Langkawi mengalami sedikit penurunan sepanjang TEMCO di Kota Setar," katanya.

Sementara itu, tinjauan di Terminal Feri Kuala Perlis sehingga 12 tengah hari tadi mendapati suasana perkarangan terminal terkawal dan sedikit lengang.

Selain itu, pengunjung juga tidak dibenarkan berada di dalam ruangan menunggu sehingga 40 minit sebelum perjalanan feri bermula.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2020 @ 1:32 PM