AHLI Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, hadir di Mahkamah bagi sebutan semula kes rasuah di Mahkamah Kuala Lumpur, semalam. FOTO FATHIL ASRI
AHLI Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, hadir di Mahkamah bagi sebutan semula kes rasuah di Mahkamah Kuala Lumpur, semalam. FOTO FATHIL ASRI
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Penyokong bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang berkumpul ketika pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Bagan di Mahkamah Sesyen, di sini, esok boleh dikompaun RM1,000 jika ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Berikutan itu, polis menasihatkan tiada kehadiran penyokong bagi mengelak provokasi selain menangani penularan wabak Covid-19.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, seramai 100 pegawai dan anggota akan bertugas bagi memantau keadaan sepanjang pertuduhan kes berkenaan berlangsung.

"Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga akan menjalankan pemantauan di kawasan mahkamah, dan jika ada yang melanggar SOP maka tindakan kompaun RM1,000 akan diambil.

"Polis juga tidak mengalakkan kehadiran wakil badan bukan kerajaan (NGO) kerana bimbang berlaku provokasi atau perang mulut sehingga mencetuskan perkara tidak diingini," katanya di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, polis akan mengawal lalu lintas bagi memastikan pergerakan lancar serta tidak berlaku kesesakan akibat kehadiran orang ramai atau mereka yang cuba berhenti di tepi jalan.

"Polis sudah berbincang dengan pihak mahkamah untuk mengehadkan jumlah mereka yang dibenarkan masuk ke perkarangan mahkamah bagi memastikan tidak berlaku kesesakan," katanya.

Semalam, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharudin Wan Ladin dilaporkan berkata Guan Eng akan menghadapi dua pertuduhan baharu berkaitan penyalahgunaan harta di Mahkamah Sesyen, di sini, esok.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 8:25 PM