KERAJAAN negeri bersedia mengkaji semula tindakan termasuk merampas tanah terhadap pihak yang mengusahakan tanaman pokok ketum. FOTO Arkib NSTP
KERAJAAN negeri bersedia mengkaji semula tindakan termasuk merampas tanah terhadap pihak yang mengusahakan tanaman pokok ketum. FOTO Arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kerajaan negeri bersedia mengkaji semula tindakan termasuk merampas tanah terhadap pihak yang mengusahakan tanaman pokok ketum kerana menyalahi penggunaan tanah pertanian.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, arahan merampas tanah adalah tindakan radikal yang perlu diperhalusi semula berikutan penanaman tumbuhan itu tidak menjadi kesalahan.

"Ia menjadi kesalahan apabila penanam kutip dan memproses daun itu menjadi minuman yang menyebabkan ketagihan. Ketagihan ini yang membahayakan kerana ia selangkah lagi akan menyebabkan kepada penagihan dadah.

"Kerajaan negeri dahulu sudah pun membincangkan soal arahan ini, sebab ramai orang yang tanam ketum, jadi kita perlu melakukan kajian yang lebih mendalam mengenai isu ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini mengesahkan penyalahgunaan ketum dalam kalangan masyarakat kian parah kerana digunakan secara berleluasa di negeri-negeri Utara semenanjung.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkoti (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ramli Din dipetik berkata, polis mendapati ketum tidak hanya digunakan untuk tujuan perubatan, malah dipercayai untuk kegunaan seks.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pihaknya menyokong sekiranya pindaan dibuat terhadap Akta Racun 1952 bagi membolehkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mengambil tindakan lebih tegas terhadap golongan yang terbabit dalam pengedaran dan pengambilan bahan terlarang itu.

Katanya, langkah itu diyakini mampu membantu kerajaan negeri mengekang isu berkenaan berikutan ia sudah berlarutan terlalu lama.

"Saya pernah bertemu dengan AADK sebelum ini, dan mereka mengatakan ada memohon supaya Akta Racun 1952 dipinda bagi membolehkan pihak berkuasa itu mengambil tindakan terhadap kesalahan berkaitan ketum.

"Kerajaan negeri ketika ini cuma mampu mengawal penggunaan tanah ketika perkara berkaitan penguat kuasaan terhadap mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan ketum, berada di bawah bidang kuasa kerajaan pusat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 6:25 PM