M Hifzuddin Ikhsan


Pokok Sena: Kedah sedia membincangkan cadangan pengharaman penanaman ketum dalam Mesyuarat Exco, esok termasuk mendapatkan pandangan agensi berkaitan.

Menteri Besarnya, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, isu berkaitan ketum agak sukar ditangani berikutan undang-undang yang meletakkan tumbuhan itu di bawah Akta Racun 1952.

Disebabkan itu, katanya, sebarang tindakan mengikut Kanun Tanah Negara perlu diteliti secara mendalam kerana secara perundangannya, individu yang menanam tumbuhan itu dianggap tidak melanggar syarat.

"Ketum ini dahulu diguna bagi merawat masalah cacing dalam kalangan kanak-kanak, tetapi ada yang salah guna menjadikannya sebagai koroi dan kemudian jadi masalah dadah.

"Kita berpendapat penekanan terhadap usaha memerangi penyalahgunaan dadah, kegiatan penyeludupan dadah dan ketum perlu diutamakan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan wang tunai RM97,000 kepada 485 keluarga kakitangan Penjara Pokok Sena yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Muhammad Sanusi berkata, usaha mengharamkan penanaman pokok ketum sudah dilakukan kerajaan negeri terdahulu, namun sehingga kini tiada tindakan lebih tegas diambil.

"Kita akan berbincang bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi mengatasi masalah ini dan pada masa sama meminta pihak berkuasa meningkatkan kawalan di lokasi panas pengedaran dadah.

"Mesyuarat Exco esok akan bincang perkara ini termasuk tindakan yang boleh diambil mengikut Kanun Tanah Negara, Akta Racun dan Akta Dadah Berbahaya," katanya.

Semalam, Ketua Polis Kedah Datuk Hasanuddin Hassan, mengesyorkan kerajaan negeri melarang penanaman pokok ketum sebagai langkah membanteras kegiatan penyalahgunaan ketum yang semakin serius.

Beliau dilapor berkata, pihaknya hanya boleh mencadangkan perkara itu dan terpulang kepada kerajaan negeri untuk mengambil tindakan mengikut Kanun Tanah Negara atau sebaliknya.

POKOK ketum. FOTO Sharul Hafiz Zam
POKOK ketum. FOTO Sharul Hafiz Zam

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 1:40 PM