SUTEKNO Ahmad Belon pada sidang media majlis penerapan Nilai Nilai Murni dan Majlis hari raya AADK di Ibu Pejabat AADK. FOTO Hazreen Mohamad
SUTEKNO Ahmad Belon pada sidang media majlis penerapan Nilai Nilai Murni dan Majlis hari raya AADK di Ibu Pejabat AADK. FOTO Hazreen Mohamad
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Penagih ketum berpeluang menerima rawatan pemulihan sama seperti individu terbabit penyalahgunaan dadah menerusi akta baharu berkaitan penyalahgunaan dadah dan bahan yang akan diwujudkan.

Draf rang undang-undang (RUU) bagi akta baharu itu sedang dirangka dan dijangka dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri pada Julai ini, menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Mengulas itu, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Suketno Ahmad Belon berkata, pihaknya memberi fokus kepada akses rawatan menyeluruh termasuk buat penagih ketum.

"Sebelum 2020 lagi, kita sudah sedia dan bagi input kepada kementerian (Kementerian Dalam Negeri) dan fokus kita kini adalah akses bagi merawat penagih, termasuk individu menagih ketum yang sebelum ini kita tidak ada akses.

"Jika dengan adanya RUU ini, maknanya siapa yang menagih ketum akan disenaraikan di bawah jadual.

"Perkara itu membolehkan kita merawat dan memulihkan mereka yang ketagih dengan ketum dan itu antara perkara-perkara yang kita akan lihat," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Pejabat AADK di sini, hari ini.

Suketno berkata, pihaknya akan terus memberi input diperlukan dalam memantapkan RUU itu dan mematuhi setiap dasar yang diputuskan kerajaan.

Pada 15 Mei lalu, Saifuddin memaklumkan draf RUU bagi mewujudkan akta baharu itu dibawa ke mesyuarat jemaah menteri pada Julai dan sekiranya diluluskan, beliau berharap ia dapat dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Dalam pada itu, Suketno memaklumkan Akta Racun 1952 mempunyai peruntukan yang mengawal selia pemilikan dan penyalahgunaan ketum, justeru tiada keperluan mendesak untuk ia disenarai dadah di bawah jadual Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (Masac) sebelum ini mendesak kerajaan segera mewartakan ketum sebagai dadah di bawah jadual ADB sebagai langkah drastik menangani gejala ketagihan air ketum, bagi mengelak berlakunya lambakan penagih dadah 'ekspres'.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2023 @ 5:55 PM