Daun ketum atau nama saintifiknya Mitragyna speciose.
Daun ketum atau nama saintifiknya Mitragyna speciose.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Denda ringan dan jarang pesalah dikenakan hukuman penjara dikenal pasti antara punca sindiket dan 'tentera semut' daun ketum semakin galak menjalankan aktiviti penyeludupan.

Ketika ini, penyalahgunaan daun ketum atau nama saintifiknya Mitragyna speciose tertakluk mengikut Akta Racun 1952 dengan memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara empat tahun atau kedua-duanya kepada sesiapa yang mengimport, mengeksport, mengilang, membekal, menjual atau memiliki serta menggunakan ketum secara haram.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, gesaan dan cadangan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) supaya Seksyen 30 Akta Racun dipinda, sekali gus meningkatkan hukuman memiliki dan menjual daun ketum perlu diambil serius.

Ia berikutan aktiviti penyeludupan ketum, penjualan air rebusan ketum dan ketagihan semakin sukar dikawal walaupun Ops Benteng dilakukan di sempadan negara sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

"Berdasarkan cadangan pindaan itu, ketum sepatutnya diklasifikasikan sebagai dadah berbahaya. Oleh itu hukuman perlu ditingkatkan sama seperti pemilikan dadah lain.

"Saya yakin golongan penyeludup dan individu yang menjual ketum akan lebih gerun apabila hukuman ditingkatkan kepada denda maksimum RM100,000, penjara tidak kurang lima tahun dan sebat," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain mengakui peruntukan undang-undang sedia ada menjadi antara faktor sindiket masih melakukan kegiatan menyeludup, memiliki dan menjual daun ketum.

"Hukuman pemilikan ketum ialah denda di antara RM500 hingga RM9,000. Ia bergantung kepada berat ketum dirampas namun jarang sekali hukuman penjara dikenakan.

"Selain itu, kesalahan di bawah akta ini tidak boleh didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Penjenayah Dan Orang Tidak Diingini 1969 serta tiada peruntukan bagi kesalahan pengambilan ketum melalui ujian saringan air kencing," katanya.

Lee Lam Thye
Lee Lam Thye

Beliau mengakui ketiadaan peruntukan undang-undang yang berat bagi kesalahan penyalahgunaan, pengedar dan penanam ketum antara faktor penyumbang kepada kegiatan penyeludupan, pengedaran dan penyalahgunaan ketum di negara berlarutan.

"Ia diburukkan lagi dengan faktor keuntungan tinggi berbanding modal rendah jika dijual di negara jiran," katanya.

Menurutnya, penawaran harga tinggi oleh sindiket di Thailand menyebabkan sindiket ketum di Malaysia terus galak melakukan aktiviti penyeludupan setiap hari.

"Malah sindiket pengedaran daun ketum mula menukar taktik apabila dikesan melakukan urus niaga sistem barter (tukar barang) membabitkan daun ketum dan dadah sintetik atau ganja.

"Kawasan panas 'laluan tikus' yang menjadi lokasi penyeludup adalah di utara Semenanjung bermula dari sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah hingga Perlis mahupun sempadan Kelantan hingga ke Perak.

"Modus operandi baharu ini (sistem barter) digunakan bagi mengelak penggunaan wang tunai," katanya eksklusif kepada Harian Metro.

Razarudin Husain
Razarudin Husain

Menurutnya, daun ketum diseludup ke negara jiran berikutan permintaan dan harga yang tinggi di negara jiran iaitu melebihi RM40 sekilogram berbanding harga tempatan sekitar RM10 sekilogram.

Razarudin berkata, tanggapan sindiket tempatan lebih gemar menggunakan laluan darat untuk menyeludup ketum tidak tepat sepenuhnya berikutan sindiket aktif menggunakan pengkalan haram dan jalan laut.

"Mereka menggunakan bot bagi memuatkan sejumlah besar daun ketum untuk diseludup ke Thailand.

"Sindiket ini biasanya beroperasi pada awal pagi menggunakan bot yang boleh menyusuri atau bergerak di kawasan air cetek seperti di Kuala Perlis dan beberapa kawasan lain," katanya.

Beliau berkata, pihak polis agresif melakukan risikan dan tangkapan terhadap sindiket ini melalui pelbagai pendekatan serta operasi bersepadu.

"Ini terbukti hasil kejayaan membabitkan 2,106 kes dan 3,019 individu ditangkap dalam tempoh lima bulan sejak Januari 2021. Ia semua membabitkan tindakan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 6:40 AM