GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kes positif Covid-19 dalam kalangan petugas kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kebanyakannya berjangkit daripada rakan setugas lain.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menyumbang sebanyak 53 peratus daripada keseluruhan kes membabitkan petugas kesihatan, bermakna lebih separuh daripada petugas kesihatan positif Covid-19 akibat jangkitan daripada petugas kesihatan lain.

Menurutnya, jangkitan daripada komuniti adalah sebanyak 22 peratus, manakala jangkitan semasa pengurusan pesakit yang belum diketahui status Covid-19 pula adalah sebanyak 17 peratus.

"Setakat ini, tiada petugas kesihatan KKM yang dijangkiti Covid-19 semasa pengurusan pesakit disahkan Covid-19 di wad atau di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Justeru itu, adalah amat penting bagi petugas kesihatan untuk memastikan langkah-langkah pencegahan jangkitan Covid-19 diambil pada setiap masa, terutamanya semasa bertugas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, penjarakan fizikal yang selamat di tempat bertugas iaitu dalam kalangan rakan sekerja dan semasa pengurusan pesakit sewajarnya diamalkan sepanjang waktu bekerja.

"Begitu juga dengan kebersihan kawasan guna sama seperti kaunter jururawat, tempat makan, pantri, ruang solat dan tandas kakitangan.

"Seperti yang sering ditekankan KKM ingin mengingatkan semua petugas kesihatan KKM yang bertugas di hospital mahupun klinik kesihatan supaya memakai alat pelitup muka tiga lapisan sepanjang waktu bekerja," katanya.

Beliau berkata, pengamal perubatan swasta juga perlu menggunakan PPE yang sesuai apabila menjalankan sebarang prosedur klinikal dan bagi kes yang disahkan positif Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 6:08 PM