GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Lebih banyak aktiviti saringan akan terus dijalankan di lapangan, terutama di pelbagai daerah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan PKPD secara pentadbiran.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kapasiti ujian juga terus dipertingkatkan.

Beliau berkata, jika dilihat pecahan utama pada jumlah kes terkini, ia menunjukkan trend yang hampir sama dengan kelmarin.

Menurutnya, Sabah mencatat jumlah kes tertinggi iaitu 277 kes (74.1 peratus) semalam.

"Kedah pula mencatatkan 27 kes (7.2 peratus) yang kesemuanya adalah daripada Kluster Tembok.

"Kes ini sememangnya terasing di dalam penjara, manakala kluster lain adalah terkawal.

Di Kedah, tiada kluster baharu dilaporkan dan kluster aktif yang lain pula tidak mencatatkan kes baharu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Lembah Klang pula merangkumi 13.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, iaitu Selangor mencatat 44 kes, Kuala Lumpur (empat kes) dan Putrajaya (satu kes).

Dalam pada itu katanya, 17 daripada 374 kes dilaporkan semalam adalah pengunjung yang pulang dari Sabah.

"Ia sekali gus menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September 2020 sebanyak 341 kes di mana enam daripada 17 kes itu dilaporkan di Selangor (35 peratus)," katanya.

Selain itu, beliau berkata, enam kluster baharu dikenal pasti semalam.

"Ia meliputi empat kluster di Selangor; masing-masing satu kluster di Sarawak dan di Sabah; di samping 10 kluster aktif lain turut mencatat kes positif Covid-19," katanya.

Beliau berkata, dua jururawat juga dikesan positif Covid-19 membabitkan petugas di Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2).

"Sejak awal wabak sehingga kini, 198 orang kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Sabah dijangkiti Covid-19.

"Susulan kes positf jururawat itu, 92 pegawai perubatan dan jururawat di HQE2 disaring, di mana 40 jururawat dikuarantinkan," katanya.

Namun katanya, perkhidmatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HQE2 masih berjalan seperti biasa, namun jumlah pesakit dikurangkan daripada lapan orang kepada enam orang.

"Semua petugas kesihatan/ perubatan diingatkan bahawa mereka juga boleh dijangkiti Covis-19 di dalam komuniti mahupun semasa bertugas.

"Perangan dengan Covid-19 hanya boleh dimenangi dengan kesepaduan semua pihak, tidak kira latar belakang, pangkat, darjat, profesion dan sebagainya dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2020 @ 9:07 AM