GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Sebanyak 1,880 kes dikesan positif Covid-19 dalam kalangan petugas kesihatan sehingga semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 52,593 petugas kesihatan menjalani saringan pengesanan Covid-19 membabitkan beberapa kategori sehingga 15 Disember lalu.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai peningkatan kes dalam kalangan petugas kesihatan terutama di dalam fasiliti kesihatan di zon merah dan kawasan berisiko tinggi.

"Berdasarkan siasatan dijalankan, majoriti punca jangkitan dalam petugas kesihatan adalah jangkitan antara petugas kesihatan dan daripada komuniti dengan masing-masing mencatatkan sebanyak 33 peratus," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, KKM sentiasa prihatin memastikan keselamatan dan kesihatan petugas kesihatan sepanjang pandemik Covid-19 ini dengan melakukan pemantauan berkala terhadap mereka.

"KKM sentiasa menekankan kepentingan mematuhi langkah kawalan serta pencegahan jangkitan dalam kalangan petugas kesihatan semasa bertugas di fasiliti kesihatan terutama ketika berada dalam komuniti.

"Kami juga mahu menyeru kepada semua petugas barisan hadapan untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan supaya jangkitan Covid-19 dalam kalangan petugas dan fasiliti kesihatan dapat dihindari," katanya.

Beliau turut menyeru masyarakat untuk bekerjasama dengan pihak KKM dengan sentiasa memberikan maklumat benar kepada petugas kesihatan supaya penilaian risiko yang tepat dapat dilaksanakan.

"Penilaian risiko yang tepat amat penting kerana ia mampu melindungi petugas-petugas kesihatan seterusnya pesakit lain daripada dijangkiti Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2020 @ 7:47 PM