BAYI perempuan berusia 14 bulan yang diserahkan ibu kandungnya kepada rakan wanitanya pada Jun 2019. FOTO ihsan JKM
BAYI perempuan berusia 14 bulan yang diserahkan ibu kandungnya kepada rakan wanitanya pada Jun 2019. FOTO ihsan JKM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Hulu Langat, Selangor sedang mengesan waris atau ahli keluarga kepada bayi perempuan yang diserahkan ibu kandungnya kepada rakan wanita pada Jun 2019.

Pegawai Pelindung Kanak-Kanak Daerah, Risauddin Ali berkata, menurut keterangan wanita berkenaan, bayi itu diserahkan oleh ibu kandungnya yang dipercayai warga Indonesia pada 19 Jun 2019 ketika bayi berkenaan berusia dua hari.

"Difahamkan ibu kandungnya yang juga rakan kepada wanita terbabit menyerahkan bayi itu tanpa sebarang dokumen.

"Bayi itu yang mengalami jangkitan kuman dalam darah dibawa ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan.

"Pihak hospital terbabit kemudian merujuk kes bayi berkenaan kepada JKM memandangkan tiada dokumen kelahirannya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Risauddin berkata, bayi itu yang kini berusia 14 bulan sudah menerima rawatan dan dilaporkan dalam keadaan sihat.

"Bayi itu ditempatkan di bawah penjagaan orang yang layak dan sesuai untuk jagaan sementara.

"Kami sedang berusaha mengesan waris bayi itu untuk menguruskan pendaftaran lewat kelahiran.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung waris atau ahli keluarga bayi berkenaan boleh menghubungi Pejabat JKM Daerah Hulu Langat di talian 03-87378007 untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2020 @ 1:51 PM