TINJAUAN air di Pangsapuri Sri Meranti, Bandar Sri Damansara. FOTO Saifullizan Tamadi
TINJAUAN air di Pangsapuri Sri Meranti, Bandar Sri Damansara. FOTO Saifullizan Tamadi
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Bekalan air di 618 kawasan pulih sepenuhnya, manakala 674 kawasan masih lagi dalam proses pemulihan sehingga 12:30 tengah hari, hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, secara keseluruhan, 47.83 peratus daripada 1,292 kawasan terbabit dengan gangguan bekalan air tidak berjadual itu pulih sepenuhnya.

"Dari segi pemulihan mengikut wilayah, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mendahului dengan peratusan masing-masing 94.1 peratus dan 93.5 peratus.

"Sementara, bagi wilayah Petaling, Kuala Langat dan Kuala Lumpur pula masing-masing 57.2 peratus, 50 peratus dan 41.3 peratus.

"Bagi wilayah Klang/Shah Alam dan Gombak pula masing-masing 24.2 peratus dan 11.3 peratus," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Elina berkata, pelanggan yang sudah menerima bekalan dinasihatkan agar menggunakan air secara berhemat.

Beliau berkata, ia bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor.

"Pengguna diminta memberi kerjasama baik kepada warga kerja Air Selangor yang bertugas dalam memberikan bantuan bekalan air alternatif di kawasan masih mengalami gangguan bekalan.

"Air Selangor akan terus memaklumkan status terkini kepada pengguna dari semasa ke semasa menerusi media massa dan semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2020 @ 3:48 PM