Pegawai Turus D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, DSP Mohd Azam Ismail ketika hadir memberi keterangan dalam prosiding inkues kematian remaja Nora Anne Quoirin di Mahkamah Koroner Seremban. FOTO  Azrul Edham Mohd Aminuddin
Pegawai Turus D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, DSP Mohd Azam Ismail ketika hadir memberi keterangan dalam prosiding inkues kematian remaja Nora Anne Quoirin di Mahkamah Koroner Seremban. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
BERNAMA

Seremban: Mahkamah Koroner di sini, hari ini diberitahu bahawa sebanyak 29 premis termasuk resort persendirian diperiksa Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Sembilan bagi mencari petunjuk keberadaan remaja perempuan warga Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin, yang hilang pada 4 Ogos 2019.

Saksi ke-14 prosiding inkues bagi mencari punca kematian gadis itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Mohd Azam Ismail memberitahu, ia membabitkan tujuh villa yang terdapat di resort The Shorea, yang terletak berdekatan dengan The Dusun Resort, lokasi penginapan remaja itu bersama keluarga sebaik tiba di Malaysia pada 3 Ogos 2019.

"Turut diperiksa ialah lima villa persendirian dengan empat berpenghuni manakala satu tidak berpenghuni, sembilan premis dan resort persendirian dengan lima berpenghuni dan empat tidak berpenghuni.

"Kita juga memeriksa dengan teliti di The Dusun Resort membabitkan lapan villa termasuk kediaman pemilik resort," katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Maimoonah Aid, pada prosiding inkues yang memasuki hari kelapan hari ini.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad yang juga pegawai pengendali inkues mengenai arahan lain yang diterima olehnya, saksi yang ketika kejadian memegang jawatan sebagai Pegawai Turus Cawangan Jenayah Berat (D9) JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, berkata, beliau dan pasukan turut diarahkan untuk menemubual pegawai Jabatan Perhutanan di kaki Gunung Berembun, sekiranya terdapat petunjuk keberadaan remaja perempuan itu.

"Tapi, dimaklumkan bahawa orang hilang tidak memasuki kawasan berkenaan," katanya.

Selain itu, mahkamah turut dimaklumkan bahawa pihaknya turut ditugaskan untuk menyiasat latar belakang ahli keluarga Nora Anne serta membuat pemprofilan semua saksi terbabit termasuk penghuni yang pernah menyewa di resort berkenaan sebelum kejadian, bagi membantu siasatan.

"Profiling ini membabitkan keluarga pengadu (Pengurus The Dusun Resort, Haanim Ahmed Bamadhaj), pekerja dan bekas pekerja The Dusun, orang tempatan yang berada di sekitar resort pada hari kejadian dan penghuni yang pernah menginap di The Dusun," katanya.

Katanya, pemprofilan itu bagi mendapatkan petunjuk baharu untuk meneruskan siasatan dengan berdasarkan perincian maklumat individu seperti rekod jenayah, rekod kenderaan dan latar belakang mereka.

Menjawab soalan Koroner Maimoonah apakah hasil daripada risikan dan siasatan terhadap ibu bapa Nora Anne, Mohd Azam berkata: "Saya dapati mereka tidak pernah terbabit dengan rekod jenayah sama ada di dalam atau luar negara,"

Koroner: Ada terima apa-apa maklumat sama ada mereka ada masalah dengan orang lain di luar negara?

Mohd Azam: Tiada Yang Arif.

Prosiding inkues sudah berlangsung selama dua minggu bermula 24 Ogos lalu hingga 27 Ogos dan bersambung semula pada 1 hingga 4 September.

Seramai 64 saksi akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan dan setakat dua minggu, seramai 14 saksi sudah dipanggil memberi keterangan.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos tahun lalu, sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan Pantai di sini.

Pada 13 Ogos 2019, mayat Nora Anne ditemukan berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapannya susulan pencarian besar-besaran dilakukan pihak berkuasa.

Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja berkenaan yang juga golongan istimewa tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan berpanjangan.

Prosiding inkues ditangguh dan akan bersambung pada 14 September

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2020 @ 2:40 PM