Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kota Kinabalu: Kecewa dan berasa dikhianati mendorong Ketua Srikandi Bersatu Kudat, Datuk Aminah Ambrose bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bengkoka sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Aminah berkata, keputusan untuk bertanding hanya dibuat beberapa jam pada hari penamaan calon 12 September lalu.

Menurutnya, dia antara nama untuk calon wanita yang akan dipilih Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) namun 'dicantas' saat akhir tanpa ada alasan yang kukuh.

"Saya akui terkejut apabila nama tiba-tiba tiada dalam senarai walaupun kepimpinan pusat dan negeri sudah memaklumkan dia akan dipilih menjadi calon.

"Tiba saat akhir nama saya 'drop' (dikeluar dari senarai) menyebabkan saya rasa dikhianati kepimpinan seolah-olah tidak mengiktiraf peranan wanita untuk mewakili parti dalam DUN Sabah," katanya dalam temu bual bersama NSTP, hari ini.

Aminah mengakui masih belum menerima sebarang surat tunjuk sebab atau pemecatan dari kepimpinan pusat atau negeri parti.

DATUK Aminah Ambrose pada PRN Sabah 2020. FOTO Aswadi Alias
DATUK Aminah Ambrose pada PRN Sabah 2020. FOTO Aswadi Alias

Bagaimanapun, beliau bersedia untuk sebarang kemungkinan termasuk tindakan dipecat kerana bertanding atas tiket Bebas dalam PRN Sabah kali ini.

"Saya rasa ini adalah detik permulaan untuk saya membuktikan kemampuan sebagai pemimpin wanita di Bengkoka kerana sudah lebih 20 tahun terbabit dalam politik dan aktiviti kemasyarakatan.

"Akar umbi di Bengkoka kuat menyokong saya kerana tahu bagaimana cara saya bekerja selama ini dan kerja keras itu akan diteruskan sebaik mendapat mandat.

"Walaupun perlu bersaing dengan 10 lagi calon namun saya yakin sokongan masih diberikan dan diterjemah 26 September ini ," katanya.

DUN Bengkoka mencatat sejarah apabila berlaku pertembungan 11 penjuru dalam PRN Sabah ke-16.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 1:48 PM