SEORANG lelaki berpura-pura diserang sawan ketika ditahan di pejabat AADK Kubang Pasu. FOTO Zuliaty Zulkiffli
SEORANG lelaki berpura-pura diserang sawan ketika ditahan di pejabat AADK Kubang Pasu. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Seorang penagih dadah berpura-pura diserang sawan ketika ditahan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kubang Pasu hari ini.

Lelaki berusia 25 tahun itu bertindak demikian ketika dibawa ke pejabat AADK Kubang Pasu pada 11 pagi tadi menyebabkan pegawai AADK menghubungi ambulans selepas lelaki itu tiba-tiba menjadi 'lemah'.

Bagaimanapun helah lelaki itu tidak menjadi apabila pegawai perubatan memaklumkan dia tidak mempunyai sejarah sawan tetapi menipu kerana takut.

Lelaki itu yang dihantar ke Hospital Jitra untuk pemeriksaan lanjut dibawa semula ke pejabat AADK jam 5 petang tadi untuk diambil siasatan lanjut.

Hasil ujian saringan yang dilakukan terhadapnya mendapati dia positif syabu dan pernah dibebaskan dari pusat pemulihan selepas menjalani rawatan dan pemulihan hampir dua tahun kerana terbabit dadah.

Dia juga dikatakan melakukan helah sama berpura-pura diserang sawan ketika ditahan AADK Kubang pasu dua tahun lalu.

Lelaki itu memberi alasan hidupnya sunyi sejak isterinya pulang ke kampung menyebabkan dia mengambil semula dadah untuk melepaskan tekanan.

Pengarah AADK Kedah, Mohd Rizal Tawil berkata, pihaknya pernah menahan lelaki itu dua tahun lalu dan dihantar ke pusat pemulihan kemudian diletakkan di bawah pengawasan AADK.

Beliau berkata, dalam Ops Cegah yang dijalankan di rumah di daerah Kubang Pasu, seramai 12 orang termasuk seorang wanita ditahan kerana terbabit dengan dadah.

"Semua individu berusia antara 20-an hingga 40-an ditahan kerana positif dadah berdasarkan ujian saringan awal air kencing yang dijalankan.

"Empat daripadanya positif opiate manakala lapan lagi positif methapetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah Rawatan dan Pemulihan Pindaan 1988 ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2020 @ 9:32 PM