BERNAMA

MAHKAMAH Rayuan menetapkan 15 Oktober ini untuk pengurusan kes rayuan Datuk Seri Najib Razak terhadap sabitan, hukuman penjara dan denda atas tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Peguamnya Muhammad Farhan Muhammad Shafee mengesahkan perkara itu ketika dihubungi melalui pesanan teks.

Bekas perdana menteri itu mengemukakan rayuan terhadap sabitannya, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dijatuhi Mahkamah Tinggi.

Pada 28 Julai lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati Najib, 67, bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan tiga pertuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan penyalahgunaan kedudukan berkaitan dana SRC.

Ahli Parlimen Pekan itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap kesalahan CBT dan pengubahan wang haram serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun bagi kesalahan penyalahgunaan kuasa.

Hakim bagaimanapun memerintahkan agar kesemua hukuman penjara berjalan serentak.

Najib kini bebas dengan jaminan RM2 juta berserta dua penjamin.

Sementara itu, pihak pendakwaan juga memfailkan rayuan untuk menambah tempoh hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadap Najib.

NAJIB hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kesnya. FOTO Saifullizan Tamadi.
NAJIB hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kesnya. FOTO Saifullizan Tamadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 4:26 PM