Najib ketika sidang media selepas pendengaran rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi dakwaan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Rayuan. FOTO BERNAMA
Najib ketika sidang media selepas pendengaran rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi dakwaan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Rayuan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Putrajaya: Mahkamah Rayuan di sini, tadi, menangguhkan keputusannya selepas selesai mendengar rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung sabitan dan hukuman terhadapnya bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, yang berlangsung selama 15 hari.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil menangguhkan keputusan itu ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Turut bersidang Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membuat kajian dengan penuh teliti. Ia adalah satu rayuan yang memakan masa agak lama berbanding kes rayuan yang lain.

"Memandangkan rayuan ini membabitkan isu dan perkara yang amat penting seperti yang dihujahkan oleh kedua-dua pihak, kami memerlukan masa untuk membuat pertimbangan bagi membuat keputusan terhadap rayuan ini," kata Abdul Karim.

Terdahulu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya Datuk V.Sithambaram menamatkan hujah masing-masing dalam prosiding rayuan itu.

Pada asalnya, rayuan bekas perdana menteri itu ditetapkan untuk pendengaran selama 12 hari bermula 5 hingga 8 April, 12 hingga 15 April dan 19 hingga 22 April namun atas permohonan pembelaan, panel terbabit memutuskan untuk melanjutkan prosiding dari 27 hingga 28 April serta 6 Mei lalu.

Bagaimanapun pendengaran yang dijadualkan pada 6 Mei ditangguhkan sehingga tadi selepas seorang peguam dalam pasukan pembelaan terpaksa menjalani kuarantin kerana menjadi kontak rapat beberapa individu yang positif Covid-19.

Najib mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lalu yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, membabitkan RM42 juta dana SRC International.

Hakim Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Najib bagi setiap pertuduhan CBT dan pengubahan wang haram (masing-masing tiga pertuduhan) serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun, bagi pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Bagaimanapun, beliau hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun selepas hakim itu memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak.

Ahli Parlimen Pekan itu kini dibebaskan selepas diikat jamin sebanyak RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu rayuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 7:54 PM