FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Rafidah Mat Ruzki dan Noor Atiqah Sulaiman


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) dikesan membayar RM2.7 juta untuk penukaran alat ganti fotografi melebihi had siling yang ditetapkan iaitu RM209,964.

Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, penukaran alat fotografi yang digunakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (D6) itu melebihi RM2.49 juta daripada had yang ditetapkan.

Katanya, Kontrak Perkhidmatan Penyenggaraan Secara Corrective (Korektif) Bagi Peralatan Bantuan Teknik (Fotografi) di D6 PDRM dimeterai pada 2 Disember 2014 dan berkuat kuasa bermula 1 Disember 2014 hingga 30 November 2017.

Beliau berkata, nilai kontrak asal berjumlah RM3 juta, membabitkan penyelenggaraan perkakasan secara korektif berjumlah RM2.79 juta dan penukaran alat ganti berjumlah RM209,964.

"Penukaran alat ganti baharu hanya untuk sekali sahaja dalam tempoh kontrak bagi semua peralatan yang disenaraikan.

"Perlanjutan kontrak sehingga 31 Mei 2019 dengan tambahan kos sejumlah RM1.50 juta adalah bagi tujuan penyenggaraan secara korektif dan penukaran alat ganti.

"Semakan Audit terhadap 15 arahan pembayaran sehingga 30 November 2017 mendapati pembayaran terhadap penukaran alat ganti sejumlah RM2.7 juta melebihi RM2.49 juta atau 1,185 peratus daripada had siling yang ditetapkan dalam kontrak asal.

"Lebihan alat ganti ini kemudiannya diliputi melalui Surat Setuju Terima (SST) bertarikh 30 November 2017 bagi kontrak tambahan berjumlah RM1.5 juta menjadikan had siling kontrak keseluruhannya berjumlah RM4.5 juta," katanya dalam sidang media Pembentangan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019, Siri 1, hari ini.

Dalam pada itu, Nik Azman berkata, semakan lanjut berdasarkan rekod Unit Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), mendapati penyelenggaraan terhadap 467 aset sedia ada tidak dilaksanakan seperti dalam kontrak penyelenggaraan.

Sebaliknya pembekal membeli peralatan baharu berjumlah RM2.72 juta bagi menggantikan alatan sedia ada.

Mengikut arahan pembayaran, pembekal membuat tuntutan untuk caj korektif, caj perkhidmatan penyelenggaraan dan pertukaran alat ganti bagi peralatan fotografi yang disenggara seperti dalam kontrak.

Bagaimanapun, pembekal membekalkan peralatan yang baharu kepada PDRM dengan menggunakan nilai penyelenggaraan dalam kontrak.

Sementara itu, LKAN 2019 mendapati, PDRM yang memberi maklum balas pada 17 Jun lalu menyatakan pegawai yang bertanggungjawab sudah mengadakan perbincangan dengan pembekal bagi menggantikan kamera yang sudah usang dengan kamera terkini (spesifikasi yang lebih baik) menggunakan kontrak perkhidmatan penyenggaraan secara korektif bagi peralatan bantuan teknik (fotografi).

Perbincangan berkenaan berdasarkan Perenggan 6 Pekeliling Perbendaharaan Malaysia-Tatacara Pengurusan Aset Alih Kerajaan: Penyenggaraan (AM 2.5), iaitu penggantian aset dibenarkan tertakluk kepada syarat yang ditetapkan dalam pekeliling.

Selain itu, nilai pembayaran adalah berdasarkan nilai keseluruhan kontrak mengikut pecahan yang terdapat dalam lampiran kontrak.

Perbandingan yang dibuat tidak mengambil kira nilai kontrak tambahan berjumlah RM1.50 juta di mana secara keseluruhannya pembayaran yang dibuat berjumlah RM3.92 juta tidak melebihi nilai kontrak RM4.5 juta.

Bagaimanapun, Jabatan Audit Negara beranggapan penukaran alat ganti fotografi melebihi had siling dalam kontrak asal sebelum kontrak tambahan dibuat adalah menyalahi peraturan kewangan.

Malah, jabatan itu berpendapat pembayaran untuk perolehan peralatan baharu yang tidak mematuhi syarat ditetapkan dalam kontrak juga adalah pembayaran tidak wajar.

Selain itu, Nik Azman berkata, pihaknya turut mengesan peralatan fotografi bernilai RM1.05 juta yang diselenggara belum diserahkan kepada PDRM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2020 @ 6:04 PM