PELAJAR nikmati akses jalur lebar lebih luas.
PELAJAR nikmati akses jalur lebar lebih luas.

Kuala Lumpur: Sehingga 12 Jun lalu, sejumlah 8,886 sekolah di seluruh negara sudah dilengkapi capaian Internet melalui perkhidmatan 1BestariNet.

Manakala lebihan 1,003 sekolah lagi menggunakan perkhidmatan telekomunikasi lain seperti jalur lebar dan talian tetap berikutan kegagalan kontraktor, YTL Communications Sdn Bhd mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan untuk membina menara telekomunikasi di beberapa negeri.

Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya semalam berkata, penggunaan sistem itu tetap membolehkan sekolah terbabit terus melaksanakan aktiviti pembelajaran murid secara dalam talian.

Berikutan kelewatan ini, kerajaan sudah mendenda YTL Communications sebanyak RM2.4 juta.

Pada 15 Mei 2011, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melancarkan tender terbuka bagi perolehan perkhidmatan 1BestariNet yang menjadi komponen utama dalam Anjakan 7 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 untuk tempoh 15 tahun.

Sebanyak 16 syarikat telekomunikasi menyertai tender itu dan hasil penilaian Lembaga Perolehan KPM, YTL Communications ditawarkan kontrak dua tahun enam bulan mulai 13 Disember 2011 hingga 12 Jun lalu.

Ia berdasarkan kedudukan penilaian spesifikasi teknikal terbaik dengan harga munasabah dan konsisten ditawarkan syarikat berkenaan yang juga selaras keputusan Kementerian Kewangan untuk membahagikan tempoh pelaksanaan mengikut fasa.

Ketika ini, sekolah yang mempunyai perkhidmatan 1BestariNet dengan kelajuan 4Mbps dibekalkan 3 Zoom bagi membolehkan guru dan murid mengakses Internet di makmal komputer, bilik guru serta pejabat sekolah di mana sebahagian besar aktiviti pembelajaran dan pengurusan berlaku.

Dengan kewujudan persekitaran WiFi di sekolah, kemudahan ini juga memberi ruang kepada peranti mudah alih lain menikmati kemudahan Internet.

Bagaimanapun, akses ini secara tidak langsung meningkatkan jumlah pengguna mengakibatkan kesesakan kepada capaian Internet berkenaan ketika ini.

Oleh itu, KPM mengambil langkah penambahbaikan dengan mengarahkan sekolah untuk menyediakan jadual penggunaan talian bagi mengurangkan masalah berkenaan.

Ini ternyata berkesan terutama di pedalaman Sabah dan Sarawak yang dirangkaikan dengan teknologi Very Small Aperture Terminal (VSAT), tetapi masih berupaya melaksanakan program Sistem Pengurusan Sekolah (SPS) dengan jayanya.

Selain itu, syarikat juga membekalkan dongles kepada setiap sekolah untuk membantu guru mencapai bahan pembelajaran murid di kawasan sekolah yang tidak berada dalam liputan WiFi Zoom.

Untuk memastikan kualiti rangkaian yang dibekalkan menepati piawaian ditetapkan International Telecommunications Union (ITU), KPM melaksanakan pengauditan ke atas rangkaian 1BestariNet secara rawak pada Disember 2013.

Sepanjang pengauditan itu, KPM mengukur kelajuan lebar jalur, kependaman, penurunan paket dan naik opelet. Semua audit yang dijalankan mendapati rangkaian 1BestariNet memenuhi Aras Jaminan Perkhidmatan (SLG) yang ditetapkan.

Bagi mengesahkan kualiti rangkaian yang dibekalkan serta dapatan pengauditan KPM, pengauditan oleh agensi luar dan pihak berkecuali juga dilaksanakan dari semasa ke semasa antaranya Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Setakat ini pembekal didapati memenuhi aras jaminan perkhidmatan (SLG) seperti dalam kontrak 1BestariNet.

Mengenai penemuan audit terhadap pencapaian kewangan 1BestariNet bahawa bayaran ke atas perkhidmatan lebar jalur 10Mbps bagi Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) di seluruh negara sejumlah RM0.32 juta tidak diperuntukkan dalam Lampiran B - Jadual Harga Kontrak dan tiada sebarang kelulusan pelarasan nilai kontrak, KPM ingin menjelaskan bahawa pembayaran itu tidak diperuntukkan dalam Jadual Pembayaran Projek.

Bagaimanapun, skop kerja dan kadar pembayaran adalah seperti yang tercatat dalam kontrak Klausa 4.2(b) di mana jadual harga kontrak dan jumlah perbelanjaan projek 1BestariNet di bawah siling kontrak.

“Manakala bagi penemuan audit berkaitan Pelantar Pembelajaran Maya (VLE) pula, ia adalah komponen terpenting dalam projek perkhidmatan 1BestariNet.

“Tahap penggunaan dalam tempoh tiga tahun pertama berada pada lingkungan lima peratus sebagaimana lazim dalam program transformasi pengintegrasian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). KPM memastikan tahap penggunaan VLE dipertingkatkan kepada 30 hingga 35 peratus dalam tempoh setahun,” katanya.

Antara langkah diambil KPM untuk tujuan ini termasuk memastikan prestasi capaian Internet berupaya memberi pengalaman terbaik buat pengguna melalui pemantauan kualiti rangkaian yang proaktif dan rapi

Selain itu, KPM juga sentiasa memastikan setiap sekolah mempunyai kelengkapan ICT untuk melaksanakan e-Pembelajaran melalui program 1Murid 1Peranti serta program penyenggaraan peralatan ICT.

Ia diikuti memastikan semua pengurus sekolah mempunyai kemahiran menguruskan sumber terhad melalui penjadualan optimum selain VLE mempunyai bilangan kandungan pelajaran yang mencukupi dan boleh dicapai semua murid tanpa intervensi guru.

Dalam pada itu, KPM turut memberi khidmat sokongan atas talian dan di sekolah serta memantau dan memaklumkan pengurus sekolah sekiranya tahap penggunaan dalam kalangan murid tidak menepati tahap penggunaan dalam kalangan murid dan guru.

KPM akan menetapkan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) penggunaan VLE bagi 2015 khususnya dalam kalangan guru antara 25 hingga 40 peratus penggunaan.

Mengenai penemuan audit berkaitan sewaan tapak, KPM ingin menjelaskan bahawa kontrak memperuntukkan kerajaan akan memberi pertimbangan, kebenaran dan kelulusan untuk mendirikan, membina atau memasang sebarang perkakasan mahupun peralatan 1Bris yang diperlukan dalam kawasan tapak pengguna.

“KPM mengenakan sewa RM1,000 setahun bagi semua tapak konsisten dengan keputusan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan. Dalam kontrak 1BestariNet dinyatakan bahawa kos utiliti dibiayai oleh kementerian.

“KPM juga ingin memaklumkan bahawa satu Jawatankuasa Siasatan sudah ditubuhkan bagi mengenal pasti tindakan penambahbaikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 5:18 AM