Azirul Shafiq (kiri), bersama Mohamad Amin Othman (tengah), Ketua Dewan Pemuda PAS Tanjung Malim, Mohd Zulfadli Zainal (kanan) ketika Program Korban Perdana bersama NGO Neolofa di Kampung Tiang Bertarah, Sungkai baru-baru ini. FOTO Ihsan ARMADA
Azirul Shafiq (kiri), bersama Mohamad Amin Othman (tengah), Ketua Dewan Pemuda PAS Tanjung Malim, Mohd Zulfadli Zainal (kanan) ketika Program Korban Perdana bersama NGO Neolofa di Kampung Tiang Bertarah, Sungkai baru-baru ini. FOTO Ihsan ARMADA
Oleh Rosman Shamsudin


JANGAN pertikai sokongan tidak berbelah bahagi Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tanjung Malim kepada calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di sini.

Ketua ARMADA BERSATU Bahagian Tanjung Malim Azirul Shafiq Sazali berkata, insiden yang berlaku ketika Majlis Pelancaran Jentera Pemuda BN oleh Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Rajawali FELDA Residence, Trolak baru-baru ini, tidak menjejaskan hubungan baik antara pemuda ARMADA, UMNO dan Pas terutama di bahagian ini.

Katanya, beliau menganggap insiden itu hanya tindakan nakal jentera Pemuda BN yang hanya mahu mengusik Pemuda ARMADA.

"Tidak dapat dinafikan, sebagai manusia, tentulah akan terasa dilayan sebegitu namun sekarang bukanlah masa untuk bermain dengan emosi, sebaliknya, semangat pemuafakatan antara parti yang terbentuk perlu didahulukan atau diutamakan.

"Kita sekarang umpama dalam medan peperangan atau perjuangan untuk memenangkan calon BN, yang turut disertai Dewan Pemuda PAS Tanjung Malim, jadi saya anggap ini cabaran dalam situasi politik semasa," katanya dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kerjasama antara pemuda ARMADA UMNO dan PAS memang sedia terjalin sebelum ini.

"Terbaru pada sambutan Aidiladha lalu pada Program Korban Perdana bersama NGO Neolofa di Kampung Tiang Bertarah yang disertai tiga sayap pemuda parti terbabit.

"Saya yakin, penyertaan BERSATU dalam Muafakat Nasional (MN) yang dinyatakan oleh Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal memberi impak selain mendapat sokongan daripada akar umbi.

"Oleh itu, mulai sekarang, kita lupakan hal lama , mulakan dengan azam yang baharu dan jadikan PRK DUN Slim sebagai titik permulaan kerjasama menuju ke arah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2020 @ 5:00 PM