Noor Hidayah Tanzizi


"SAYA bersyukur dengan kemenangan malam ini, ini bukti permuafakatan antara semua pihak termasuk barisan jentera, parti komponen (Barisan Nasional) dan Pas serta Bersatu,"

Begitu kata Mohd Zaidi Aziz, 43, yang dipilih sebagai wakil rakyat baharu mewakili BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Mohd Zaidi berkata, kemenangannya sebagai tanda kerjasama antara semua pihak yang membantu menggerakkan kempen selama 14 hari ini.

Katanya, dia berterima kasih kepada semua kepimpinan tertinggi BN pusat dan negeri iaitu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Najib Razak dan Pengerusi Perhubungan Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad serta pengundi yang sudah mengundinya.

"Terima kasih kepada bapa, isteri dan anak yang sentiasa mendoakan dan menyokong saya sehingga berada di tahap ini.

DR Ahmad Zahid (kanan) bersama Mohd Zaidi (tengah) yang memenangi PRK DUN Slim ketika pengumuman keputusan penuh di Perkarangan Dewan Sri Tanjong di Majlis Daerah Tanjung Malim. FOTO Sharul Hafiz Zam
DR Ahmad Zahid (kanan) bersama Mohd Zaidi (tengah) yang memenangi PRK DUN Slim ketika pengumuman keputusan penuh di Perkarangan Dewan Sri Tanjong di Majlis Daerah Tanjung Malim. FOTO Sharul Hafiz Zam

"Selain itu, terima kasih tidak terhingga juga kepada Umno Bahagian Tanjung Malim, kepimpinan BN, Friends of BN, pimpinan Pas dan bersatu daripada pusat dan negeri," katanya pada sidang media selepas keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim di Dewan Sri Tanjong, di Tanjung Malim.

Mohd Zaidi berkata, semua pihak memberikan komitmen dan kerjasama yang padu sepanjang kempen dan akhirnya BN berjaya mengekalkan kemenangan dengan majoriti yang besar.

"Permuafakatan ini dapat membentuk dan merangka satu gerak kerja yang kuat dan padu selama 14 hari dan hasilnya terbukti dengan kekuatan, keutuhan, kerjasama dan semangat toleransi kita berjaya menang," katanya.

PRK kali ini BN mempertahankan kerusi dengan majoriti 10,945 undi.

Mohd Zaidi, 43, meraih 13, 060 undi, mengatasi dua calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, dan S Santharasekaran, 44, masing-masing memperoleh 2,115 dan 276 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2020 @ 10:22 PM