Rosman Shamsudin

IKATAN dan hubungan semua parti politik yang terbentuk dalam semangat Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) perlu diterjemahkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, 29 Ogos ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, melaluinya, baru boleh dilihat tanda keikhlasan dan kejujuran semangat PN serta MN yang terbentuk.

Katanya, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), calon BN mendapat kira-kira 8,000 undi.

"Jika kerjasama MN (Pas-UMNO), sudah tentu BN akan mendapat tambahan kira-kira 4,000 undi daripada undi penyokong Pas kali ini.

"Kita harap kira-kira 6,000 undi yang diberikan kepada calon Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) yang bertanding atas tiket PKR pada PRU-14 diberikan kepada calon BN kali ini.

"PRK DUN Slim ini adalah penanda aras untuk menuju ke PRU-15. Di sini kita akan lihat kejujuran sebenarnya parti-parti yang mendokong PN dan MN kerana parti-parti dalam BN sudah membuktikan kesetiaan pada semua PRK sebelum ini," katanya

DR Ahmad Zahid (tengah) semasa Majlis Pelancaran Jentera Pemuda BN di Dewan Rajawali FELDA Residence Trolak.FOTO Rosman Shamsudin
DR Ahmad Zahid (tengah) semasa Majlis Pelancaran Jentera Pemuda BN di Dewan Rajawali FELDA Residence Trolak.FOTO Rosman Shamsudin

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda BN di Dewan Rajawali FELDA Residence Trolak dekat Trolak, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi Perhubungan UMNO Perak Datuk Saarani Mohamad.

Majlis pelancaran turut dihadiri ketua-ketua pemuda parti komponen BN dan rakan BN serta Pas dan Armada BERSATU.

Menurut Ahmad Zahid, hubungan dan kerjasama itu perlu disahkan pada PRK DUN Slim.

  • Lagi berita berkaitan PRK Slim
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 4:41 PM