Mohd Amin Jalil


INKUES kes kematian remaja Ireland Nora Anne Quoirin, kembali bersambung apabila Koroner, Maimoonah Aid melawat tempat penginapan dan lokasi penemuan mayat remaja Ireland itu pagi ini.

Beliau tiba di lokasi pada 9.15 pagi bersama pasukan keselamatan membabitkan Jabatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Jabatan Bomba dan Penyelamatan Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang diketuai Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman.

Maimoonah menetapkan inkues itu didengar di Mahkamah Koroner, Seremban, mulai 24 Ogos sehingga 4 September depan.

Sebelum ini dilaporkan keluarga remaja terbabit memohon inkues pada Disember lalu bagi mengetahui kejadian sebenar menimpa Nora Anne.

Keluarga ingin tahu sama ada remaja berkenaan diculik atau keluar sendiri dari pusat penginapannya.

Nora Anne, 15, bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di resort The Dusun Pantai Hill, Pantai dekat Seremban pada 3 Ogos tahun lalu sehari sebelum remaja itu dilaporkan hilang pada awal pagi keesokannya.

Remaja perempuan itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

POSTER mengenai kehilangan Nora Anne ketika misi mencari remaja itu pada Ogos tahun lalu. FOTO Arkib NSTP
POSTER mengenai kehilangan Nora Anne ketika misi mencari remaja itu pada Ogos tahun lalu. FOTO Arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 11:44 AM