BERNAMA

SEORANG ahli kimia memberitahu Mahkamah Koroner Seremban, hari ini, bahawa analisis dadah yang dijalankan terhadap tiga spesimen diperoleh daripada mayat remaja Perancis-Ireland Nora Anne Quoirin termasuk spesimen hatinya pada 19 Ogos tahun lalu, tidak menemukan sebarang dadah biasa.

Suhana Ismail, 52, bertugas di Bahagian Toksikologi, Pusat Analisis Sains Forensik, Jabatan Kimia Malaysia, yang turut menjalankan analisis pestisid organofosfat dan pestisid organoklorin terhadap ketiga-tiga spesimen berkenaan pada tarikh sama, juga tidak menemukan sebarang kehadiran racun makhluk perosak.

"Selain menjalankan analisis terhadap spesimen hati yang berlabel 'Nora Anne Quoirin', saya menjalankan analisis terhadap dua lagi spesimen berlabel 'Nora Anne Quoirin' iaitu peritonel fluid iaitu cecair yang diperoleh di dalam perut dan spesimen psoas muscle di bahagian pinggul atau punggung.

"Pestisid prganofosfat dan pestisid organoklorin pula sejenis racun makhluk perosak yang biasa digunakan dalam industri pertanian," katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Nur'Atiqah Sapari yang bertindak selaku pegawai pengendali dalam prosiding inkues bagi mencari punca kematian Nora Anne.

Saksi ketujuh itu yang berkhidmat di bahagian toksikologi sejak 15 Mei 2015 berkata, ketiga-tiga spesimen bermeterai 'beg spesimen Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Tuanku Jaafar Seremban' diperoleh daripada pegawai penyiasat Inspektor Mohd Nor Nikman Ahammed bagi membolehkan pihaknya menjalankan dua analisis untuk mengesan kehadiran dadah dan racun makhluk perosak.

Menjawab soalan Koroner Maimoonah Aid mengapa beliau hanya menjalankan analisis berkenaan dadah dan racun makhluk perosak, Suhana berkata, ini kerana bahagian toksikologi hanya menjalankan analisis berhubung dua perkara itu.

Maimoonah: Kamu memberitahu hasil analisis negatif dadah biasa atau common drugs, apa maksud common drugs?

Suhana: Ia merangkumi dadah-dadah yang boleh diperoleh over the counter seperti ubat jenis paracetamol yang precribed oleh doktor atau dadah diambil orang ramai secara salah seperti ecstacy dan kanabis.

Maimoonah: Berapa lama bagi seseorang yang konsisten mengambil ubat (mengandungi dadah) dan seorang lagi yang mengambil ubat secara on and off untuk untuk dadah itu kekal di dalam badannya.

Suhana: Bergantung kepada kadar metabolisme badan seseorang individu itu dan jangka hayat dadah itu boleh bertahan di dalam badan seseorang.

Seorang lagi saksi ahli kimia, Saiful Fazamil Mohd Ali, 45, memberitahu prosiding inkues bahawa analisis dijalankan terhadap dua sampel pasir diambil dari bawah mayat Nora Anne dan yang diambil dari kawasan berhampiran mayat, mendapati kedua-dua sampel pasir itu berkemungkinan berasal dari sumber sama.

"Saya membuat analisis dengan melihat ciri-ciri fizikal pada pasir dengan membandingkan kedua-dua sampel pasir berkenaan.

"Saya berpendapat pasir-pasir itu berkemungkinan berasal dari sumber sama kerana kedua-dua sampel itu mempunyai taburan ketumpatan yang serupa antara satu sama lain," katanya.

Ditanya Koroner Maimoonah mengapa beliau menyatakan 'berkemungkinan', saksi kelapan itu menjelaskan bahawa pihaknya tidak mempunyai data mengenai ketumpatan tanah di seluruh Malaysia dan analisis hanya dijalankan berdasarkan dua sampel pasir itu yang diterima daripada polis pada 16 Ogos 2019.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos 2019, sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan di Pantai di Seremban, kira-kira 60 kilometer di selatan ibu negara.

Mayat Nora Anne ditemukan sembilan hari kemudian pada 13 Ogos, berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapannya susulan pencarian besar-besaran yang dilakukan pihak berkuasa.

Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja istimewa itu tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan berpanjangan.

Prosiding inkues bersambung petang ini.

NORA Anne Quoririn. FOTO Arkib NSTP
NORA Anne Quoririn. FOTO Arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 3:42 PM