WARGA tempatan bersama Pati yang ditahan dibawa ke Balai Polis Serian untuk tindakan lanjut. FOTO Melvin Joni
WARGA tempatan bersama Pati yang ditahan dibawa ke Balai Polis Serian untuk tindakan lanjut. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


CUBAAN tiga individu warga tempatan membawa keluar lapan pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia melalui jalan tikus gagal apabila mereka ditahan pasukan tentera.

Mereka ditahan di kawasan ladang kelapa sawit Tetangga Akrab, kira-kira 4 kilometer dari sempadan Malaysia dan Indonesia pada jam 9 pagi tadi.

Menurut kenyataan Markas Divisyen Pertama Infantri, empat lelaki, lima wanita bersama dua kanak-kanak terbabit ditahan oleh anggota Batalion ke-10 Rejimen Renjer Diraja (10RRD) yang menjalankan Op Awas di kawasan terbabit.

"Ketika menjalankan Op Awas di kawasan ladang itu, anggota 10RRD ternampak mereka melalui kawasan berkenaan dengan menaiki tiga motosikal.

"Setelah ditahan dan diperiksa, kesemua mereka dipercayai cuba pulang ke Indonesia melalui jalan yang tidak sah.

"Tiga individu warga tempatan terbabit dipercayai tekong darat yang cuba membawa keluar Pati melalui jalan tikus di sempadan Malaysia-Indonesia," katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menurutnya, semua individu terbabit termasuk barangan yang dirampas seperti motosikal dan telefon bimbit dianggarkan bernilai RM12,500 dibawa ke Balai Polis Serian untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, taktik dua lelaki menyeludup keluar 120 kotak minuman keras ke Indonesia menggunakan jalan tikus di Serikin pada jam 5 pagi tadi turut digagalkan oleh anggota 10RRD.

"Ketika menjalankan Op Awas di kawasan Serikin, anggota 10RRD terdengar bunyi kenderaan memasuki laluan tikus menuju ke sempadan Indonesia.

"Setelah kenderaan itu ditahan dan diperiksa, seorang individu menaiki motosikal dan seorang lagi memandu van dipercayai cuba menyeludup keluar 120 karton minuman keras pelbagai jenama ke Indonesia ditahan," katanya.

Menurutnya, suspek bersama minuman keras, telefon bimbit, motosikal dan van yang dirampas dianggarkan bernilai RM23,600 dibawa ke Balai Polis Bau untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 5:27 PM