LIMA Pati warga Indonesia ditahan anggota Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia ketika bersembunyi dalam sebuah rumah sebelum seludup keluar ke Indonesia menggunakan lorong tikus di Tebedu, Sarawak. FOTO ihsan Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia
LIMA Pati warga Indonesia ditahan anggota Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia ketika bersembunyi dalam sebuah rumah sebelum seludup keluar ke Indonesia menggunakan lorong tikus di Tebedu, Sarawak. FOTO ihsan Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Lima pendatang asing tanpa izin (Pati) yang bersembunyi dalam sebuah rumah untuk menunggu masa keluar dari negara ini menggunakan 'lorong tikus' di sempadan Malaysia-Kalimantan dekat Tebedu, Sarawak ditahan anggota tentera semalam.

Mereka ditahan sepasukan anggota Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) menyerbu rumah berkenaan di Taman Selera Puspa Indah, Tebedu, menerusi Op Benteng jam 5.15 petang.

Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia dalam kenyataan berkata, ketika serbuan Pati terbabit sedang menunggu seseorang untuk mengambil mereka.

"Selepas disoal siasat, kelima-lima mereka bekerja di Bintulu dan hendak balik ke Indonesia menggunakan lorong tikus Sempadan Malaysia-Indonesia.

"Hasil penahanan, mereka dibawa ke Balai Polis Tebedu untuk tindakan lanjut," katanya.

Dalam perkembangan lain, pasukan 1 Div turut menumpaskan kegiatan penyeludupan kayu gaharu dan barangan berharga lain apabila menahan lima suspek termasuk dua rakyat tempatan, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.50 malam, anggota yang sedang melakukan Op SERKAP (Serang dan Tangkap) melihat seorang lelaki menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan berulang-alik ke arah sebuah pondok dikenali Pondok John.

"Anggota yang melakukan risikan bertindak menyerbu penunggang itu ketika sedang mengiringi dua kenderaan pacuan empat roda dari arah Malaysia ke sempadan Indonesia. Namun penunggang itu dapat meloloskan diri tetapi dua kenderaan berkenaan berjaya ditahan.

"Tiga warga Indonesia dan dua warga tempatan termasuk seorang remaja perempuan ditahan. Pemeriksaan menemui 15 bungkus kayu gaharu, 573 botol minuman keras, 14 tong gas, lima telefon bimbit, 96 papan telur ayam, 143 pek serbuk minuman, wang tunai Ringgit Malaysia dan Indonesia Rupiah serta alat pertukangan kayu gaharu," katanya.

Katanya, turut dirampas dua kenderaan pacuan empat roda dengan anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM492,771.907.

Mereka disyaki terbabit dalam cubaan menyeludup keluar barangan itu ke Indonesia melalui laluan tidak sah dan kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubuk Antu untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2020 @ 2:51 PM