ANGGOTA Tentera memeriksa kenderaan curi yang cuba di seludup ke Kalimantan Barat. FOTO ihsan ATM
ANGGOTA Tentera memeriksa kenderaan curi yang cuba di seludup ke Kalimantan Barat. FOTO ihsan ATM
Mohd Latif Ahmad


LALUAN becak menggagalkan cubaan menyeludup keluar kenderaan curi didalangi dua warga Indonesia melalui ‘jalan tikus’ di sempadan Sarawak-Kalimantan Barat di Serikin, semalam.

Dalam kejadian 10.25 pagi itu, kedua-dua suspek cuba menyeludup keluar kenderaan pacuan empat roda itu sebelum ia tersangkut di laluan berlumpur. Kelakuan mereka yang mencurigakan disedari anggota Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dari Kem Jawatankuasa Perancang Gerakan (JPG) Serikin.

Menyedari kehadiran anggota keselamatan di lokasi kejadian, suspek meninggalkan kenderaan itu sebelum melarikan diri ke wilayah berjiran.

Sumber memberitahu kehadiran kenderaan curi itu dan suspek disedari anggota bertugas yang terbabit dalam Op Awas, khusus bagi memperkukuhkan kawalan keselamatan di sempadan termasuk mengekang kegiatan jenayah rentas sempadan.

“Dalam rondaan rutin 10.25 pagi semalam, anggota bertugas terserempak dua warga Indonesia sedang berusaha mengeluarkan kenderaan mereka dari kawasan berlumpur berhampiran sempadan.

“Sebaik melihat kehadiran anggota bertugas terbabit, suspek panik dan melarikan diri melintasi sempadan. Kumpulan Rondaan Berkenderaan cuba mengejar suspek, namun mereka dapat melintasi sempadan,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui satu pasport Republik Indonesia, dua topi keledar dan satu cangkul yang ditinggalkan dalam kenderaan itu, kira-kira 100 meter dari garis sempadan Sarawak - Kalimantan Barat.

Malah, hasil semakan turut mendapati Mitsubishi Pajero itu dilaporkan dicuri dari rumah di Pelita Heights, Kuching.

“Berikutan itu, kenderaan berkenaan dirampas, seterusnya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis (IPD) Bau pada untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 10:56 PM