GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


GURU di tiga sekolah yang ditutup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) di Kuala Sanglang diarah menjalani ujian saringan Covid-19 hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Perlis, Azman Mohd Yusof berkata, saringan membabitkan 139 guru yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang, Sekolah Kebangsaan (SK) Sanglang dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Chin Hun.

"Setakat ini, seramai 48 guru SK Sanglang, 15 guru SJKC Chin Hun sudah selesai melakukan ujian saringan bermula pagi tadi, dan ujian sama ke atas 76 guru SMK Sanglang sedang dilakukan.

"Ketika ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) melakukan proses sanitasi di dua sekolah terbabit dan proses sama akan dibuat di SMK Sanglang sebaik ujian saringan ke atas guru selesai," katanya ketika dihubungi hari ini.

Tiga sekolah yang terletak di kawasan Temco Kuala Sanglang berkenaan terpaksa ditutup sejak kelmarin, dan pelajar diarah menjalani sesi pembelajaran secara dalam talian atau penjaga diminta ke pondok pengawal sekolah bagi mendapatkan tugasan harian pelajar.

Mengulas mengenai proses saringan ke atas penduduk Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul yang dimulakan sejak kelmarin, Azman berkata, setakat ini seramai 912 penduduk sudah melakukan ujian.

Katanya, proses saringan masih berjalan dijangka terus berjalan berikutan ada penduduk baharu tampil melakukan ujian saringan di Klinik Kesihatan Kuala Sanglang hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 3:58 PM