Mohd Roji Kawi


Kuching: Jenazah anggota polis Konstabel Iskandar Ibrahim yang lemas dalam kejadian bot karam di Sungai Batang Baleh, Kapit pada 7 Mac lalu dijangka tidak akan dibawa balik ke Kelantan, sebaliknya akan dikebumikan di Sibu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata, itu keputusan awal hasil perbincangan dengan keluarga mangsa.

"Setakat ini, hasil perbincangan dengan keluarga Allahyarham iaitu isteri serta ibu bapanya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kemuyang di Sibu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mayat Iskandar, 28, ditemukan selepas sembilan hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan.

Mayat mangsa ditemukan terapung oleh orang awam pada 11.30 pagi tadi di kawasan Teluk Seputin yang dianggarkan tujuh kilometer (km) di hilir lokasi bot karam.

Mayat mangsa kini ditempatkan di Hospital Kapit sementara menunggu proses bedah siasat yang akan diadakan pada Isnin depan.

Mancha berkata, polis Kontinjen Sarawak sedih dengan pemergian Iskandar serta seorang lagi anggota, Sarjan Jonathan Lambet yang komited dan berintegriti dalam menjalankan tugas.

"Kami amat sedih atas kehilangan dua anggota sekali gus dalam insiden bot karam ketika mengiringi bahan letupan bagi membina projek jalan akses ke Empangan Hidro Elektrik Baleh.

"Saya mewakili warga polis Kontinjen Sarawak merakamkan ucapan takziah kepada keluarga arwah dan mendiang," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang, 7 Mac lalu, bot yang dinaiki lima individu karam di Sungai Batang Baleh, berdekatan jeti SK Lepong Baleh.

Salah seorang berjaya diselamatkan oleh orang awam, manakala empat lagi termasuk dua anggota polis hilang dihanyutkan arus deras.

Ketika kejadian, kedua-dua anggota polis itu termasuk Iskandar dalam perjalanan dari Kuching ke Nanga Tulie, Kapit kerana mengiringi bahan letupan seberat 35 kilogram.

Dua mayat mangsa ditemui pada 9 Mac lalu iaitu Jack Balan dan Sarjan Jonathan Lambet manakala mayat ketiga iaitu Amerson John Nain, pula ditemui pada 10 Mac lalu.

GAMBAR kenangan Anis Nur Ezzati bersama suaminya, arwah Iskandar Ibrahim. FOTO Ihsan FB Anis Nur Ezzati
GAMBAR kenangan Anis Nur Ezzati bersama suaminya, arwah Iskandar Ibrahim. FOTO Ihsan FB Anis Nur Ezzati

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 5:17 PM