Program Korban Perdana Kumpulan NAZA melalui NAZA Plantations Service Sdn Bhd dianjurkan dengan kerjasama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS), baru-baru ini.

Sebanyak 33 lembu yang diternak di ladang NAZA Plantations, Raub, Pahang dikorbankan dalam program terbabit. Penternakan lembu adalah sebahagian daripada cabang perniagaan NAZA Plantations dengan ia dijalankan secara sistem integrasi.

Program korban ini menggunakan cara yang lebih sistematik, bersih dan halal dengan haiwan itu disembelih di rumah sembelih milik DVS di Shah Alam, Selangor.

Rumah sembelih itu mempunyai kelengkapan yang canggih dan bersih dengan lembu yang disembelih akan terus diproses untuk menghasilkan daging segar sebelum diagihkan kepada penerima korban.

Daging korban disejukbekukan sebelum diuruskan dan diagihkan ke rumah kebajikan dan anak yatim di sekitar Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur pada Aidiladha kedua di Wisma NAZA di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Turut hadir pada majlis itu adalah Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin, Naib Presiden Kanan Hal Ehwal dan Tugasan Khas Kumpulan Abdul Hamid Ismail dan Naib Presiden Kanan Kumpulan Eftra Zakaria Ismail.

Menurut SM Faisal, cara pengendalian korban ini dapat mempromosikan kaedah alternatif yang lebih moden, bersih, halal dan agihan daging dapat diperluaskan dengan daging berkenaan disejukbekukan untuk menjamin kesegaran dan kebersihannya.

"Bersesuaian dengan pengertian korban tahun ini, kami dengan kerjasama MAPIM berhasrat menyerahkan daging korban kepada 550 keluarga pelarian Rohingya, Palestin dan Syria yang berada di Malaysia.

"Program ini dilihat sebagai satu langkah beribadah dan beramal sambil menunaikan tanggungjawab sosial korporat kepada komuniti setempat yang kurang bernasib baik," katanya.

Majlis berakhir dengan penyampaian daging korban ke rumah tahfiz dan rumah anak yatim di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur dan dianggarkan 1,000 penghuni rumah berkenaan mendapat manfaat daripada majlis itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Oktober 2014 @ 5:00 AM