ALAS kaki yang dihasilkan banduan dijahit tangan.
ALAS kaki yang dihasilkan banduan dijahit tangan.
NORNEELAH (kiri) diiringi pegawai penjara melihat banduan menyiapkan jahitan baju.
NORNEELAH (kiri) diiringi pegawai penjara melihat banduan menyiapkan jahitan baju.

Mendengar nama penjara sudah cukup membuatkan masyarakat gementar, malah penjenayah sekali pun akan berhati-hati dengan kegiatan mereka agar tidak dihumban ke tirai besi itu.

Namun, bak kata pepatah sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Setiap perbuatan akan dibalas setimpal dengan perlakuannya.

Tidak hairanlah, seseorang itu melakukan kesalahan ringan atau berat akan tetap diadili dan jika didapati bersalah, penjara akan menjadi tempatnya untuk menjalani hukuman.

Begitupun, berada di penjara bukan bermaksud banduan dapat tinggal dengan ‘senang hati’ kerana tidak perlu bersusah payah memikirkan soal belanja harian, makan dan minum atau pakaian berjenama.

Kunjungan penulis ke Penjara Wanita Kajang boleh membantu masyarakat memahami konsep penjara yang bukan lagi bertindak sebagai penghukum semata-mata.

Timbalan Pengarah Penjara Wanita Kajang Norneelah Shukor berkata, setiap banduan akan menjalani tiga fasa latihan yang dipantau wadar, sekali gus ditempatkan dalam bidang mengikut kepakaran dan minat masing-masing.

“Bagi banduan warga Malaysia, mereka terus ditempatkan di dalam sel penempatan sementara untuk menjalani orientasi blok selama dua bulan.

“Fasa 1 akan cuba mengalihkan tumpuan banduan dengan mengadakan aktiviti berkawad bagi mengukuhkan disiplin diri.

“Sepanjang orientasi, banduan diterapkan dengan pengenalan asas mengenai kenegaraan, undang-undang negara dan disiplin agar mereka menghormati pegawai penjara serta sesama banduan.

“Fasa 2 pula membabitkan program berorientasikan sahsiah diri yang menawarkan dua kelas iaitu halaqah dan ‘therapeutic community’ (TC) yang dijalankan selama enam bulan.

“Kelas halaqah dikendalikan lima ustazah daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang bertanggungjawab mengajar banduan wanita bersolat, membaca al-Quran, mempelajari fardu ain dan memantapkan didikan agama yang sudah lama ditinggalkan.

“Ternyata kelas halaqah banyak membantu apabila banduan sendiri berterima kasih dan bersyukur kerana berpeluang berubah dan mendapat banyak manfaat selepas dimasukkan ke sini.

“Bagi banduan yang terbabit dengan kesalahan dadah, mereka dimasukkan ke kelas TC agar mampu mengekang tabiat mengambil dadah selepas keluar dari sini.

“Bukan mudah mahu buang ketagihan dadah kerana kebanyakannya sudah bergelumang dengan pelbagai jenis bahan itu sejak remaja lagi.

“Justeru, pendekatan secara psikologi banyak dilakukan agar mereka menyesali perbuatan itu dan mempupuk kesedaran terhadap keluarga yang mengambil berat,” kata Norneelah.

Banduan bukan Islam juga tidak diabaikan apabila mereka diberi pengajian agama mengikut anutan masing-masing sama ada Buddha, Hindu atau Kristian yang diajar organisasi bukan kerajaan (NGO) tertentu.

Bagi Fasa 3 pula, sebelum banduan diberi kemahiran teknikal, mereka ditemuduga oleh pegawai pemulihan dan aspek perlakuan sepanjang Fasa 1 dan Fasa 2 akan dinilai dengan teliti.

Banduan ditemuduga untuk mengetahui kemahiran, minat mereka dalam bidang tertentu dan fizikal bersesuaian dengan bengkel yang disediakan.

Ini bagi membolehkan banduan yang layak, benar-benar berminat dan ada disiplin saja menjalani kemahiran teknikal.

“Terdapat empat bengkel kemahiran iaitu pastri, spa dan salun, bengkel jahitan dan batik.

“Bengkel kemahiran ini bukan saja memberi latihan kepada banduan, malah mereka dianggap pekerja kerana menerima upah mengikut kadar ditetapkan.

“Rutin banduan yang bekerja sama seperti ma–syarakat di luar kerana memulakan kerja seawal 8 pagi dan berakhir 5 petang.

“Malah, banduan yang ada anak boleh menghantarnya ke taman asuhan kanak-kanak (taska) yang disediakan untuk bekerja seperti biasa di bengkel.

“Tidak semestinya banduan yang menjalani hukuman lebih lima tahun akan kekal dengan bengkel berkenaan sepanjang tempoh hukuman.

“Mereka dibenar menukar kemahiran lain untuk meningkatkan kualiti dimiliki selain beberapa faktor membabitkan tiada persefahaman dengan rakan bengkel, perselisihan faham dan tidak berminat dengan kursus dipelajari.

“Banduan boleh bertukar ke bengkel lain, tapi perlu ditemuduga sekali lagi oleh pegawai penjara bagi mengenal pasti punca dan kemungkinan wujud masalah yang tidak diketahui,” katanya.

Norneelah berkata, mendidik banduan lebih baik daripada terus menghukum kerana meskipun ada yang dikategorikan sebagai ganas, angkuh dan masih kekal dengan sikap keras kepala, sudah menjadi lumrah kepada pegawai penjara untuk menyokong dan mendekati mereka melalui cara tertentu.

“Pegawai penjara juga diberi kursus untuk bersikap lembut dan bertolak ansur dengan banduan bagi mewujudkan kerjasama antara wadar dengan banduan.

“Wadar perlu cuba ambil hati banduan supaya wujud suasana harmoni di dalam penjara. Banduan berada dalam lama di penjara, justeru wadar perlu membentuk imej mesra agar mereka tidak merusuh, malah melahirkan sikap hormat-menghormati sesama manusia.

“Kebanyakan banduan yang tidak pernah masuk penjara seolah-olah hilang arah dan beranggapan kehidupan mereka sudah musnah, tetapi tanggapan itu salah.

“Program seperti orientasi di penjara membantu melatih banduan berdisiplin dan membentuk sahsiah diri selain program keagamaan dan TC yang diakui berjaya membawa mereka kembali ke ­pangkal jalan,” kata Norneelah.

Menurutnya, Penjara Wanita Kajang dalam perancangan untuk memperkenalkan kursus teknologi maklumat (IT) sesuai dengan misi penjara Menuju Peneraju Korektif.

“Ada perancangan membuka kelas komputer, tapi Penjara Wanita Kajang mahu membesarkan beng–kel sedia ada kerana mendapat permintaan yang tinggi. Pun begitu, segala-galanya masih dalam perancangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2016 @ 5:01 AM