Balqis Jazimah Zahari


PENJAWAT awam mengaku salah di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini atas 14 pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi membuat tuntutan berjumlah RM75,438.70 pada 2014 dan 2015 lalu.

Tertuduh, Roslan Al Sidek Sulaiman, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Roslan yang bertugas sebagai pembantu akauntan didakwa secara tidak jujur menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu pesanan penghantaran dan invois atas nama Aladin Emas Enterprise, Mizie Auto Enterprise dan Musmar Enterprise untuk tujuan tuntutan pembayaran pembelian petrol, diesel dan minyak pelincir.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu di Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak di Ipoh antara 9 September 2014 hingga 7 Ogos 2015

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 'Azmi Yusuf manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 468 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan didenda jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, 'Azmi memohon mahkamah untuk menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh, tetapi juga memberi mesej jelas kepada penjawat awam lain.

Bagaimanapun, tertuduh merayu hukuman ringan kerana tiada pendapatan selain perlu menanggung tiga orang anak dan ibu bapa.

ROSLAN (tengah) yang dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda sebanyak RM70,000 daripada 14 pertuduhan akibat menggunakan dokumen palsu bagi membuat tuntutan. FOTO Sharul Hafiz Zam
ROSLAN (tengah) yang dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda sebanyak RM70,000 daripada 14 pertuduhan akibat menggunakan dokumen palsu bagi membuat tuntutan. FOTO Sharul Hafiz Zam

Katanya, isterinya menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis, manakala dia sendiri juga menghidap sakit jantung, darah tinggi dan psirosis.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan dan denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan hukuman berjalan serentak.

Tertuduh juga bakal berhadapan hukuman penjara tambahan 14 bulan sekiranya gagal menjelaskan bayaran denda itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 3:42 PM